Adakah anda semua sudah membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba? Fesyen apa agaknya tahun ini? Atau hanya membuat persiapan ala kadar saja? Susah nak membuat pilihan? Kami ingin kongsikan keadaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tips untuk membeli belah. Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman ( Jalan TAR )di Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan Syurga Membeli Belah mula beroperasi sejak minggu ini. Banyak gerai-gerai yang telah dibuka di sepanjang lorong-lorong kecil di belakang deretan kedai di Jalan TAR. Oleh kerana kami singgah pada hari bekerja, keadaan di sana tidaklah sesibuk hari minggu. Tetapi hati-hati, kalau anda rajin survey harga, ada pakaian yang dijual di lorong popular ini lebih mahal harganya daripada harga pakaian di kedai-kedai.
TIPS MEMBELI BELAH SEMASA HARI RAYA
1. Sebelum membeli, pastikan nilai harga barangan itu setimpal dengan kualiti barang.
2. Belajar tawar menawar. Selalunya peniaga akan meletakkan harga barangan yang lebih tinggi pada hari minggu berbanding hari bekerja kerana permintaan banyak. Jadi, berlatih dari sekarang. Mana tahu rezeki dapat shopping separuh harga?
3. Elakkan membawa banyak wang tunai. Ramai orang, ramai juga si tangan panjang. Kalau boleh elakkan membawa wang tunai dengan banyak. Bawa sekadar perlu ikut bajet. Jadi, kurang sikit peratusan nak membazir tu. Maklumlah, masing-masing akan rambang mata bila nampak baju-baju pelbagai warna bergantungan di sana-sini.
4. Jangan mudah terpengaruh. Selalunya peniaga akan meletak iklan yang menarik untuk memancing pengguna. Jadi hati-hati semasa membeli dan pastikan anda selidik dulu mutu dan kualiti barangan barang yang hendak dibeli.
Kelihatan kakak abang sudah mula sibuk membeli belah di Jalan TAR biarpun pada hari bekerja
Berapa agaknya nilai tapak bazar Ramadhan di Jalan TAR ni ye? Ada tak dalam RM5000 untuk satu tapak?
Dari pakaian kanak-kanak hingga lah ke pakaian orang dewasa, semuanya ada dijual disini.
Pelbagai jenis kacang, RM10 sebungkus
Keronsang bunga ini dijual dengan harga RM1
Baju bersaiz besar juga ada dijual Jalan Tuanku Abdul Rahman
TIPS MELETAK KENDERAAN DI JALAN TAR
Seperti yang anda semua maklum, agak sukar untuk mendapatkan parking di Jalan TAR terutamanya hujung minggu. Disini kami kongsikan beberapa tempat letak kenderaan tidak berbumbung yang terdapat di sekitar Jalan TAR. Anda juga boleh mengambil inisiatif untuk meletak kenderaan di bangunan CIMB, Pertama Complex, Bangunan MARA, Campbell Complex, Caps Square, SOGO dan kebiasaannya bangunan pejabat di sekitar Jalan TAR menyediakan parking untuk orang awam.
Kadar parking yang dikenakan biasanya RM10 untuk kawasan terbuka, manakala parking di basement bangunan adalah RM3- RM4 sejam.
Kawasan bertanda P adalah kawasan tempat letak kenderaan terbuka.