Majalah Mangga – Siapa yang tidak kenal dengan majalah hiburan yang menggunakan nama buah yang menjadi kegemaran semua ini? Majalah yang dikeluarkan oleh Utusan Karya ini mula dikeluarkan sejak tahun 1990an lagi. Maknanya sudah lebih 15 tahun ia dikeluarkan. Namun ternyata majalah ini amat sinonim dengan gambar-gambar artis baru pose di tepi kolam renang dan penuh dengan gambar warna-warni artis berpakaian seksi.
Masa saya di sekolah rendah, saya pernah membeli majalah hiburan Mangga ni sebab nak tengok gambar-gambar artis popular masa tu. Maklumlah zaman dulu tak ada akses Internet. Jadi orang zaman dulu lebih gemar membeli majalah hiburan seperti Mangga, URTV, Hai, Galaxie dan macam-macam lagi sebab harga pun berpatutan.Tetapi bila dah besar macam ni, rasa malu pulak nak baca majalah ini dan lagipun sekarang sudah ada internet. Nak tengok gambar artis seksi pun, kadang-kadang mereka sendiri yang bagi kita tengok free di laman sosial. Bayangkan kalau bergambar, kalau posing ‘over’ sikit, kawan-kawan dah ejek kita ‘pose ala majalah Mangga’.
Cover depan majalah Mangga. Maaflah kalau terkurangkan pahala puasa anda di bulan Ramadhan ni ya.
Tetapi baru-baru ini saya telah mendapat satu gambar sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah mengenai status majalah Mangga menurut syara’ di bawah tajuk “Mohon Penjelasan Berkaitan Status Majalah Mangga menurut Syara’”
KEPUTUSAN :
“Mana-mana penerbitan yang mempamerkan wanita-wanita ataupun lelaki yang mendedahkan aurat hukumnya adalah haram kerana bertentangan dengan kehendak syariat. Oleh itu dicadangkan supaya Bahagian Kawalan Penerbitan Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) menangani isu ini dengan lebih efektif.
Di Malaysia pula, JAKIM dan KDN sibuk mengharamkan beberapa buku, antaranya Allah, Liberty and Love tulisan Irshad Manji, The Satanic Verses tulisan Salman Rushdie, serta Hadis: Satu Penilaian Semula tulisan Kassim Ahmad, Shit karya Shahnon Ahmad, Sebongkah Batu Di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Mungkin ada yang mengatakan bahawa langkah pengharaman buku-buku ini dilakukan untuk mengelakkan kesan buruk yang lebih besar. Tetapi kenapa majalah hiburan seperti Mangga harus menunggu sehingga lebih 15 tahun untuk mengetahui status halal haram majalah tersebut? Apa bezanya buku-buku yang diharamkan oleh JAKIM dan KDN dengan majalah ini?
Buku karya Lee Kuan Yew dan Irshad Manji telah diharamkan penjualan di Malaysia oleh Jakim dan KDN
Kalau buku-buku yang diharamkan ini dikatakan akan melemahkan intelektual masyarakat di negara kita dan juga akidah kita bakal tergugat dengan membaca buku-buku yang boleh saya katakan diluar zon selesa pemikiran masyarakat di Malaysia,majalah hiburan seperti Mangga ini bagaimana pula? Tidakkah ia lebih melemahkan daya intelektual masyarakat di Malaysia? Tepuk dada tanya hati.