Pagi semalam telah pergi berjumpa dengan pihak Yayasan yang terletak di Damansara untuk meminta penjelasan mengenai kes anak-anak yatim yang didakwa telah dihalau dari satu rumah perlindungan yang terletak di Rawang Selangor. Baca di Kisah Anak-Anak Yatim Yang Dihalau Dari Rumah Perlindungan Rawang Part 1 dan [Berita Penuh dan Video] Kisah Anak-Anak Yatim Yang Dihalau Dari Rumah Perlindungan Rawang Part 2 . Terdapat sedikit percanggahan fakta di antara pihak penjaga anak-anak yatim tahfiz dan juga dari pihak yayasan. Kami harap dengan adanya penjelasan dari pihak yayasan, sedikit sebanyak isu ini dapat dileraikan dan diselesaikan dengan baik. Berikut kami kongsikan penjelasan dari pihak yayasan mengenai isu ini.
Menurut wakil dari pihak Yayasan:
- Mereka memaklumkan bahawa pihak mereka telah dihubungi oleh pihak dari rumah perlindungan di Rawang yang mengatakan bahawa mereka akan berpindah ke satu tempat baru (menurut penjaga, mereka akan berpindah ke rumah perlindungan yang lain yang telah bersetuju untuk menerima anak-anak yatim tersebut di Seri Kembangan). Apabila mereka diberitahu yang anak-anak yatim ini akan berpindah dari rumah perlindungan di Rawang, mereka menyediakan dana untuk kos pengangkutan yang diperlukan. Dan pihak yayasan sama sekali tidak menghalau anak-anak yatim ini keluar dari rumah perlindungan.
- Untuk pengetahuan semua, pihak yayasan tidak masuk campur di dalam hal pengurusan rumah perlindungan anak-anak yatim tahfiz di Rawang ini tetapi mereka ada menghantar wakil untuk melawat dan melihat keadaan rumah perlindungan tersebut dari masa ke semasa.
- Menurut yayasan lagi, rumah perlindungan itu adalah merupakan rumah wakaf.
- Pihak syarikat M telah berhenti perkhidmatan mereka menguruskan rumah perlindungan di Rawang sejak awal tahun ini dan menurut yayasan, selepas itu ia diselenggara sendiri oleh penjaga rumah perlindungan tersebut dan segala dana disalurkan terus kepada penjaga. Walaupun pengurusan sudah bertukar tangan tetapi yayasan terus memberikan dana kepada rumah perlindungan tersebut.
- Apabila diberitahu mengenai hal ini, pihak yayasan amat kesal dengan keadaan anak-anak yatim tersebut dan sedia membantu sekiranya dimaklumkan malahan boleh berusaha untuk menempatkan anak-anak yatim tersebut di rumah perlindungan lain yang sesuai.
Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Yayasan yang telah disiarkan di dalam portal kami sebelum ini:
“Yayasan tidak terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan Rumah Perlindungan Tahfiz tersebut. Keputusan untuk berpindah dari Rumah Perlindungan tersebut di Rawang bukanlah keputusan Yayasan dan Yayasan menafikan dengan setegasnya samada secara langsung atau tidak langsung penglibatan kami dalam langkah-langkah yang diambil untuk menangani masalah yang dihadapi oleh Rumah Perlindungan Tahfiz tersebut. Yayasan amat kecewa ke atas fitnah yang ditujukan kepada Yayasan dalam penyataan bahawa sekumpulan anak-anak yatim di halau dari rumah perlindungan mereka oleh Yayasan . Sebagai satu badan yang bertanggungjawab, Yayasan memantau dan memberi pandangan dan nasihat dari masa ke semasa kepada pihak pentadbiran badan-badan kebajikan yang kami bantu, walaupun sebarang keputusan terakhir adalah dibuat oleh pihak pentadbiran itu sendiri.
Kami cuba untuk menghubungi syarikat M untuk mendengar penjelasan daripada mereka tapi mereka gagal dihubungi dan nombor telefon pejabat mereka sudah tiada lagi dalam perkhidmatan. Kami hanya menjadi orang tengah untuk pihak anak-anak yatim meluahkan masalah mereka dan juga hanya menjadi medium perantaraan yayasan dan juga mereka. Diharap ketiga-tiga pihak dapat duduk semeja untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan jangan kerana salah faham, anak-anak yatim menjadi mangsa.