Pada hari Jumaat lepas, kami telah dijemput untuk menghadiri acara red carpet tayangan khas filem sains fiksyen thriller iaitu Resident Evil : Retribution di TGV Sunway Pyramid. Yang lebih istimewanya, tayangan eksklusif ini diserikan lagi dengan kehadiran bintang dari filem Resident Evil Retribution iaitu Li BingBing yang melakonkan watak sebagai Ada Wong seorang mangsa yang terselamat dari menjadi mangsa virus zombie apocalypse.
Acara tayangan premiere ini dimulakan dengan sesi meet and greet bersama Li BingBing di ruang legar Sunway Pyramid dan 200 tiket tayangan premiere telah dihadiahkan kepada peminat filem franchais Resident Evil semasa acara berlangsung. Filem Resident Evil Retribution 3D ditayangkan untuk pertama kalinya secara eksklusif di panggung wayang IMAX TGV Sunway Pyramid dan bakal ditayangkan diseluruh negara pada 13 September 2012 ( Khamis ) bagi tayangan filem berbentuk 3D dan biasa.
Sinopsis
Virus berbahaya syarikat Umbrella Corporation yang diketuai oleh Albert Wesker terus merebak dan mengubah manusia normal menjadi zombi. Alice ( lakonan Milla Jovovich ) merupakan satu-satunya harapan manusia untuk memusnahkan virus Umbrella Corporation. Plot dimulakan dengan adegan flashback pertempuran askar Umbrella Corps yang diketuai oleh Jill Valentine ( lakonan Sienna Guillory ) yang menyerang kapal kontena yang sarat membawa manusia yang terselamat.
Jill adalah seorang bekas pegawai polis Raccoon City dan sekutu Alice yang telah ditangkap dan telah dipasangkan dengan alat pepijat untuk mengawal minda Jill supaya Alice dapat ditangkap. Pada mulanya Alice dan manusia yang lain menyangka yang pertempuran mereka dengan Umbrella Corps sudah berakhir, tetapi tidak. Selepas pertempuran itu dan Alice terjatuh di dalam laut, dia ditangkap oleh askar Umbrella Corps dan semasa Alice sedarkan diri, dia mendapati dia berada di dalam kurungan di lokasi rahsia yang menempatkan pusat operasi rahsia Umbrella Corporation.
Terdapat 5 buah bandar ‘buatan manusia’ di markas operasi itu iaitu New York, Moscow, Tokyo, bunker kapal selam dan kawasan suburban di Amerika Syarikat. Bandar-bandar itu dibuat untuk menguji virus dan menjual virus kepada kuasa besar dunia untuk tujuan perperangan. Artificial intelligent yang dinamakan Red Queen mengawal Umbrella Corporation dan mengarahkan semua manusia dihapuskan.
Barry Burton lakonan Kevin Durand menggodam sistem komputer Umbrella Corporation untuk melumpuhkan sistem pertahanan operasi Umbrella buat sementara waktu untuk membantu Alice keluar dari bilik tahanannya. Alice perlu keluar dari pusat tahanan Umbrella yang terletak di kawasan berais tetapi perlu melalui 5 bandar buatan di pusat operasi Umbrella Corp. Pusat operasi Umbrella Corps itu dihuni oleh klon-klon ciptaan Umbrella untuk dijadikan bahan eksperimen dan digunakan semasa simulasi di bandar buatan, dan cara mereka yang diklonkan adalah dengan memasukkan memori manusia biasa di dalam otak mereka supaya mereka mempunyai emosi seperti manusia normal. Misi menyelamatkan Alice dibantu oleh Ada Wong lakonan Li BingBing, seorang manusia yang terselamat dari cengkaman Umbrella Corps, dan juga sekumpulan lelaki di dalam misi menyelamatkan Alice. Pasukan itu diketuai oleh Leon S. Kennedy lakonan Johann Urb.
Alice dan Ada Wong di bandar suburban buatan di markas operasi rahsia Umbrella Corps
Alice dikejar oleh zombi semasa berada di bandar buatan Tokyo.
Pasukan penyelamat untuk menyelamatkan Alice dari markas Umbrella Corps
Alice diserang oleh sekumpulan zombi di bandar Tokyo. Kemudian pasukan penyelamat Alice telah mati seorang demi seorang untuk menyelamatkan Alice. Ada Wong telah dijadikan tawanan oleh Umbrella Corp untuk dijadikan umpan menangkap Alice. Pada akhir filem, Alice telah memusnahkan pepijat di badan Jill Valentine dan Jill kembali menyertai pasukan Alice. Mereka berjaya melepaskan diri dan Alice dibawa ke markas manusia yang terselamat di Washington D.C dimana mereka harus berlawan dengan tentera jahat Umbrella Corp untuk mempertahankan populasi manusia yang semakin pupus. Mampukah Alice dan rakan-rakannya melawan pihak Umbrella Corp?
Review :
Cerita dimulakan dengan adegan backflash di kapal kontena dimana manusia di atas kapal itu telah diserang oleh askar-askar Umbrella Corps yang diketuai oleh Red Queen dan Jill Valentine ( dipasangkan pepijat/virus pada badannya oleh Red Queen, mengawal minda supaya Alice dapat ditangkap dan dibunuh ) . Dengan adegan backflash ini, penonton yang belum pernah menyaksikan filem Resident Evil sebelum ini dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai kisah yang terjadi pada Alice, apa itu Umbrella Corps serta sebab mengapa Alice dan Umbrella Corps bertempur. Ini merupakan filem Resident Evil yang diadaptasi dari permainan video dan mungkin jalan ceritanya agak sama seperti franchais filem Resident Evil sebelum ini. Jalan ceritanya agak kurang difahami pada awal tayangan fielm dimana, kita akan dihidangkan dengan babak klon Alice di kawasan perumahan suburban di dewan eksperimen Umbrella Corp dan mungkin menganggap Alice sudah mati semasa berlakunya pergelutan klon Alice dengan zombi. Tetapi rupanya kawasan suburban dan bandar-bandar seperti Tokyo, Moscow, New York dan bunker kapal selam itu adalah bandar buatan oleh Umbrella Corp untuk menguji virus yang bakal dijual pada kuasa besar dunia.
Cerita ini mungkin diminati oleh gamers dan peminat filem aksi kerana dari awal sampai akhir filem ini sarat dengan aksi lawan Alice, Ada Wong, team misi menyelamat Alice dengan Umbrella Corp. Jadi anda tidak boleh mengharapkan cerita yang ‘logik akal’ kerana filem ini boleh ditonton secara santai, tak perlu banyak fikir kecuali pada awal-awal cerita. Jalan ceritanya pada akhir filem pun agak mendatar dan kita boleh teka siapa yang tinggal dan siapa yang mati. Dan yang pasti filem ini ada sambungan..
Kami mencadangkan jika anda mahu menonton filem ini, tengoklah filem Resident Evil Retribution 3D di pawagam IMAX, sebab memang best tengok visual dia! 🙂
Bintang :
- Pelakon 3/5
- Aksi 3/5
- Kesan Khas Visual 4/5
- Jalan Cerita 2/5
- Kualiti 3/5