Pasangan diraja yang paling terkenal di dunia, Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isteri Catherine tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, bagi memulakan lawatan rasmi empat hari. Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan selama sembilan hari pasangan diraja itu, ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda. Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi ke Putrajaya bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.
Gambar Kate Dan Putera William di KLIA Sepang pagi tadi
Kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana
Duke dan Duchess of Cambridge juga dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, dan menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara, malam ini.
Sepanjang lawatan ke negara ini, pasangan diraja itu akan melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum, hutan hujan tropika utama, di Sabah.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Britain menjemput para peminat Putera William dan isterinya, Kate Middleton untuk mengalu-alukan kehadiran pasangan diraja itu dalam program persembahan kebudayaan khas di taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Jumaat. Pasangan diraja itu dijangka tiba di KLCC antara pukul 10 pagi dan 11.30 pagi, Jumaat.
Sebuah video yang dikeluarkan pada minggu lalu menunjukkan antara program yang akan dihadiri Duke dan Duchess of Cambridge itu dengan berlatar belakangan KLCC dan Menara Berkembar Petronas.
Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone turut memaklumkan mengenai persediaan yang perlu dibuat oleh orang ramai ketika sesi walkabout tersebut.
Video tersebut boleh ditonton di http://ukinmalaysia.fco.gov.uk/en/ atau www.facebook.com/bhckl.
Sumber gambar : AFP (Business Recorder) dan Bernama