Dilema : Sudah Bertunang Tapi Cinta Lelaki Lain
Persoalan
Antara bernikah dengan tunang yang diaturkan keluarga atau memilih lelaki yang disukai adalah diantara dilema yang pernah dilalui oleh seorang wanita. Antara keluarga atau perasaan sendiri, anda perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat diri andasendiri. Perlukah anda menurut permintaan keluarga atau mengorbankan perasaannya sendiri? Atau adakah anda perlu berterus terang dengan keluarga walaupun anda tahu akan dimarahi dan ditentang oleh keluarga? Berdosakah anda andai andatetap dengan pilihan anda untuk hidup bersama lelaki lain yang bukan tunang anda?
Jawapan
Membuat pilihan atau membuat keputusan merupakan tingkah laku yang sepatutnya melibatkan diri sendiri, persekitaran dan juga Tuhan yang masa Esa. Jadi dalam keputusan untuk memilih dan menilai cinta sesama manusia, petua yang paling utama adalah mengikut sunnah Rasulullah iaitu memilih agama yang pertama melebihi yang lain. Yang penting bukan bersandarkan nafsu semata-mata.
Perkara pertama yang perlu dinilai adalah kesungguhan. Anda perlu bandingkan yang mana di antara kedua-duanya yang sangat serius dalam hubungan yang bukan sekadar untuk suka-suka atau test market.
Kedua, anda perlu positif terhadap ketentuan Allah swt. Mungkin tunang anda itu membosankan atau tidak ikut selera anda tetapi mungkin dia merupakan jodoh dan ketentuan yang paling hampir dengan anda. Sedangkan kekasih anda hadir dengan yakinnya mencipta dan mempatenkan hubungan agar jelas tentang kesediaan dan kesungguhan hubungan itu.
Lebih mudah dan senang mencintai orang yang mencintai anda berbanding dengan orang yang baru sedar akan cinta setelah dia terpaksa. Tanya diri sendiri apa matlamat hubungan dan pembinaan keluarga. Dapatkan pandangan teman rapat dan orang yang telah berkeluarga kerana mereka ini lebih berpengalaman atau dapatkan pandangan profesional dari pejabat kaunseling atau agama.
Alam fantasi dan realiti adalah berbeza. Manusia suka berfantasi tentang hubungan cinta berpandukan cerita di media tetapi hubungan manusia yang dibina atas dasar cinta perlu dipaksikan kepada cinta Allah swt bagi menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Mungkin anda rasa terpaksa sekarang, tapi yakinglah dengan petunjuk Allah swt dan lakukan solat istikharah untuk menetapkan hati anda. Semua ini akan menjamin kebahagiaan anda berbanding dengan cinta yang hadir atas rasa cabaran, tekanan atau mengambil keputusan setelah dipaksa.