Kerajaan diminta memperkenalkan semula skim pelupusan kereta lama dengan memberi baucer diskaun RM5,000 kepada pembeli kereta baru seperti yang diperkenalkan pada 2009.
Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, skim tersebut mampu meningkatkan keselamatan pemandu, pengguna jalan raya dan juga mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.
“Ini kerana masih banyak kenderaan di jalan raya negara ini tidak berada dalam keadaan terbaik kerana berusia melebihi 15 dan 20 tahun,” katanya pada sesi penerangan media mengenai harapan industri mengenai Bajet 2013 di sini, hari ini.

Insentif untuk semua jenis kereta
Skim pelupusan kereta berusia 10 tahun dan lebih bagi membeli kereta baru Proton atau Perodua yang diperkenalkan sebelum ini mendapat sambutan amat baik daripada pembeli dan dihentikan kerajaan selepas kehabisan peruntukan.
Bagaimanapun insentif itu kali ini seharusnya ditawarkan kepada semua jenis kenderaan dan tidak hanya kepada pengeluar kereta nasional. Pengenalan polisi itu juga boleh menjadi langkah permulaan kepada pelaksanaan polisi kenderaan sepanjang hayat yang akan menetapkan tempoh hayat penggunaan sesebuah kenderaan di negara ini.
Selain itu kerajaan juga boleh turut melaksanakan peraturan standard kepada pengusaha-pengusaha bengkel bagi memastikan keselamatan pekerja dan juga pengguna kenderaan. Kelemahan bengkel-bengkel dalam melaksanakan standard keselamatan boleh membawa bencana di tempat kerja dan juga jalan raya. – Utusan
Wajar atau tidak?
Dengan harga rumah melambung tinggi, harga barang naik, harga minyak pun macam yo-yo, ramaikah rakyat Malaysia yang bersetuju dengan polisi ini? Maksudnya mampu atau tidak rakyat Malaysia menukar kereta setiap 10 tahun?
Mungkin lebih baik jika kerajaan mewajibkan pemilik kereta 10 tahun ke atas membuat pemeriksaan kereta tahunan di Puspakom dengan kadar bayaran berpatutan jika keselamatan kereta yang dirisaukan.
Melainkan kerajaan turunkan cukai import atau turunkan harga kereta, ha memang boleh sangatlah skim lupus kereta ini dilaksanakan ye dok?