Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat dakwaan lagu ‘Harapan Bangsa’ nyanyian Jaclyn Victor menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini. Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi yang menggesa Jakim supaya menyiasat lagu ‘Harapan Bangsa’ nyanyian Jaclyn Victor itu kerana dikatakan menyebarkan agama Kristian secara tidak langsung.
Dr Mohd Puad dipetik sebagai berkata lagu berkenaan tidak sesuai disiarkan kerana bimbang akan menimbulkan keresahan dalam kalangan penganut agama lain yang mungkin menganggapnya sensitif.
“Setelah meneliti lirik lagu ini, pada rangkap korusnya ada menyebut `setiap suku, setiap kaum dan setiap bangsa kan menyembah di tahtah (takhta) mu’ memberi gambaran seolah-olah orang Melayu Islam juga begitu.
“Dia (Jaclyn) kena sensitif, dalam lirik itu juga jelas menunjukkan `Yesus (Jesus) adalah tuhanku’. Kalau dia sebut setiap penganutmu, orang faham penganut agamanya (Kristian) saja tetapi jangan sebut setiap suku, kaum dan bangsa di negara ini yang turut meliputi orang Melayu,” katanya.
Berhubung kenyataan di atas, Jaclyn telah memberikan kenyataan balas di dalam akhbar Mstar bahawa dia menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Malaysia bukan bertujuan untuk menyebarkan agama berkenaan tetapi dikhususkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia. “Dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama, isu tersebut tidak seharusnya dipertikaikan,” katanya kepada mStar Online apabila diminta mengulas lagu berkenaan yang menjadi isu selepas beberapa pihak membuat pertikaian mengenainya.
Apa pandangan anda? Adakah Jaclyn Victor perlu diboikot seperti yang diminta oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)?
Berikut merupakan lirik lagu Harapan Bangsa – Jaclyn Victor yang telah rakam pada sekitar tahun 2007
Bapa engkaulah harapan negara ini
Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia
Yesus engkaulah harapan segala bangsa
Nyatakan lah kebenaran mu
Korus:
Setiap suku setiap kaum dan setiap bangsa
Kan menyembah di tahta mu
Dan nyatakan bahwa yesus lah tuhanku
Ku dengar suara aliran sungaimu
Membanjiri hati umat mu di Malaysia
Kami sangat rindu
Kau kan pulihkan Malaysia
Harapanku
Tuhan pulihkan negaraku Malaysia
Kaulah satu-satunya harapan segala bangsa
Beri pengharapan kepada yang terhilang
Bebaskan semua pemulihan mu
[Ulang Korus]
Malaysia arah tujuanmu kan berubah
Engkau tidak akan sama lagi
Engkau akan melihat perubahan nyata
Setiap bangsa kan mengalami pemulihan pemulihan