Bicara manis penuh muslihat seorang lelaki berperwatakan alim kononnya boleh menjamin seseorang masuk syurga menyebabkan seorang wanita terpedaya hingga memaksa mangsa menyerahkan RM81,000 sebagai upah menghapuskan dosa.
Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 31, memberitahu, segalanya bermula apabila ibunya yang berusia 72 tahun bertemu dengan lelaki yang mengaku dirinya sebagai amil zakat berumur lingkungan 40-an di Plaza Angsana di sini pada Julai lalu.
Katanya, pada pertemuan itu, ibunya telah memberikan wang selepas amil yang dikenali sebagai Nizam Idris tersebut mendakwa dia mengutip zakat dan mengambil sumbangan untuk anak yatim, warga tua dan golongan orang kelainan upaya.
“Ibu seperti orang yang telah dipukau dan menyerahkan wang kepada Nizam kira-kira RM81,000 hingga sanggup mengetepikan keluarga sendiri semata-mata menurut kata lelaki berkenaan. Lelaki itu mendakwa dia melihat kami sekeluarga dimasukkan ke dalam neraka dan untuk mengelakkan perkara itu, ibu harus membayar sejumlah wang bagi penebus dosa sekali gus dapat merasai nikmat syurga,” kata Zana.
Tambahnya, lebih membuatkan mereka naik mual dengan pembohongan Nizam ialah lelaki itu meramalkan hari kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat manakala ibunya akan meninggal dunia pada 24 Julai tahun depan.
Menurut suri rumah itu, dia sekeluarga telah mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan ibunya mengenai pembohongan dan lakonan licik Nizam tetapi malangnya wanita itu bukan sahaja manafikannya malah, memberitahu Nizam merupakan lelaki yang baik.
“Ada antara kami pernah terserempak dengan ibu yang sedang menjual semua barangan kemas sambil ditemani Nizam dan sampai satu tahap, ibu berhajat mahu menjual banglonya di Stulang Laut di sini bernilai RM500,000 tetapi sempat dihalang,” katanya yang memberitahu hasil jualan itu akan diberikan kepada Nizam.
Polis telah menahan lelaki berkenaan pada hari pihaknya menerima laporan. Suspek kemudian telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. Buat masa ini, tidak banyak yang boleh pihak polis lakukan kerana mangsa sendiri tidak mengaku dia telah ditipu.