Apa minuman pilihan kamu semasa sarapan pagi? Atau mungkin, semasa minum petang atau bila berbual kosong bersama rakan?
Saya memilih kopi.
Topik ini bukan random kerana saya nak review sebuah buku yang paling menarik saya baca setakat ini, iaitu Kopi, kumpulan cerpen terbitan Fixi.
Kenapa Kopi? Kopi adalah sebuah buku yang mengumpul 19 cerpen yang diinspirasikan dari kopi. Bagi sesetengah orang, kopi itu satu ketagihan. Mungkin editornya, Amir Muhammad berharap cerpen ini berfungsi seperti kopi; diperlukan untuk menenangkan fikiran dan pada masa yang sama addictive. Untuk diri saya, ya itulah yang terjadi. Saya membaca buku ini from cover to cover kata mat salleh, intro dari Amir Muhammad saja sudah menarik membuatkan saya sukar untuk menghentikan bacaan saya. Tambahan pula ianya cerpen, sama macam baca tweet kat Twitter. Ringkas, tapi padat!
Mungkin kamu terfikir, cerita kopi ni tentang kisah pembuat kopi sajakah, tapi diolah dalam pelbagai bentuk? Tak. Dalam cerpen ni, kopi mungkin boleh jadi permulaan cerita, penyebab berlakunya peristiwa (macam kopi tumpah misalnya) atau penyudah imaginasi. Macam-macam inspirasi. Semuanya menarik. Kalau kamu mengharapkan kisah percintaan cliche antara penjual dan peminum kopi, mungkin buku ini kurang sesuai untuk kamu tapi saya recommendkan, bacalah dulu.
Cerpen-cerpen ini dikumpul secara email oleh Amir Muhammad. Bermula dari 27 November 2011, dalam masa seminggu sahaja hampir semua cerpen dalam buku ini ditulis.
Semua cerpen dalam novel ini menarik. Namun saya ada tiga cerpen yang membuatkan saya berkata ‘wow’ bila habis bacaan. Jangan bimbang, saya tak akan menulis spoiler, tapi saya akan terangkan signifikan kopi dalam tiga cerpen pilihan saya ini:
1) Bersaksi Kopi, hasil karya Dayang Noor. Kopi dalam cerpen ini memainkan peranan sebagai medium perkongsian masalah cerita antara lelaki buaya dan seorang gadis. Minum kopi, sambil bergossip.
2) Kopi 3 Rasa, hasil karya Shaz Johar. Cerpen ini memang menggunakan kopi sebagai medium penceritaan luar dari kebiasaan. Gabungan cinta, khianat dan kesepian. Walaupun kopi sedap, namun ia juga boleh membunuh kamu.
3) Kopi, Donat dan Bayang Gadis Berambut Hijau, hasil karya Adib Zaini. Kopi jadi sumber inspirasi bagi mencari nama seorang gadis yang dirindui.
Selain dari membuatkan saya bertambah nak sangat minum kopi ketika membaca himpunan cerpen ini, bahasa dalam cerpen ini juga mudah difahami dan santai. Saya rasa bahasa review saya ni pulak terlebih skema dari buku yang saya review ini. Nampaknya editor tidak membuat syarat kepada penulis seperti tak boleh menggunakan bahasa rojak. Saya sangat bersetuju dengan tak adanya syarat begitu, sebab apa yang penting isi yang nak disampaikan. Asalkan tepat ke hati pembaca, dapat menarik minat, misi sudah berjaya.
Saya tidak pasti jika buku ini masih lagi berada di pasaran online di fixi.com.my, sebab hanya 1,500 keping saja dicetak untuk jualan. Kalau kamu gagal mendapatkannya di fixi.com.my, mungkin boleh cuba di Amazon. Kalau masih juga tak dapat beli, anggap saja kamu dalam golongan orang-orang yang rugi :8)
Saya bagi markah berbanyak-banyak bintang untuk buku ini. Sepanjang proses bacaan dan review, saya habiskan empat cawan kopi. Tak ada kaitan, tapi biarlah! >:O