Satu rusuhan berlaku berdekatan bangunan Parlimen Perancis selepas beberapa jam negara ini meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis.
Penunjuk perasaan yang menentang perkahwinan sejenis, bertindak melemparkan botol kaca, tin minuman dan batang besi dalam rusuhan tersebut. Polis pencegah rusuhan pula bertindak melepaskan gas pemedih mata di tugu memorial Invalides dan kompleks muzium.
Terdahulu, Dewan Nasional Perancis meluluskan rang undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis dengan 331 undi menyokong dan 225 undi menentang.
Menteri Kehakiman, Christiane Taubira berkata, perkahwinan pertama hasil daripada undang-undang itu boleh diadakan pada Jun ini.
Ketika Dewan Nasional bersidang berhubung rang undang-undang tersebut, beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan secara aman di luar bangunan Parlimen.
Seorang ibu kepada dua orang anak, Claire Baron, 41 berkata, dia akan terus menentang rang undang-undang tersebut.
”Saya tidak akan mengalah. Kami akan mempertahankan nilai-nilai kekeluargaan. Kanak-kanak perlukan seorang ibu dan seorang ayah,” katanya. – AGENSI/UTUSAN