Penerbit David Teo memberitahu pelakon Aeril Zafrel memperdayakannya dengan mendakwa ingin mempelajari ilmu agama sehingga mendorong dia menamatkan kontrak pengurusan artis di bawah syarikatnya iaitu Metrowealth International Group (MIG) lebih awal.
David yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, MIG berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati niat pelakon itu yang mahu mendalami Islam tetapi dia mengkhianati janjinya dengan membintangi produksi lain termasuklah syarikat dari Hollywood.
“Mula-mula Aeril kata mahu belajar agama dan kerana itu dia meminta saya untuk tamatkan kontrak lebih awal. Saya ni kalau bab-bab agama agak sensitif. Dan sebab itulah saya memenuhi permintaannya kerana menyokong langkah yang hendak diambilnya untuk melakukan sesuatu ke arah kebaikan. Tiba-tiba saya mendapat tahu dia membintangi sebuah filem di Hollywood pula. Dia sudah tidak memenuhi apa yang dikatakannya sebelum ini,” ujarnya. – Mstar Online
Tambah David, dia mendapat tahu mengenai kerja lakonan Aeril di Hollywood pada akhir tahun lalu. Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 26, sebelum ini mengesahkan dia tidak lagi bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG selepas mempertimbangkan beberapa perkara yang disifatkannya sangat peribadi. Aeril juga mengesahkan sudah mendapat tawaran berlakon bersama produksi di Hollywood dengan bintang Christina Ricci dan Sharon Stone. Selain merasakan dirinya diaibkan dengan pelbagai tohmahan dan ‘cakap-cakap belakang’, Aeril dilaporkan berkecil hati dan tidak menyenangi ‘budaya’ kerja yang diamalkan MIG.
Wah, nampaknya pelakon pun dah pandai temberang. Kenapa tidak berterus terang sahaja dengan David Teo? David pun sudah lama berkecimpung dalam bidang perfileman dan sudah tentulah dia sudah masak dengan ragam dan perangai sesetengah artis dan selebriti. Apapun, diharap David Teo janganlah berkecil hati lama sangat. Sekarang dah ambil bintang Youtube Bobo bernaung dibawah MIG kan? Gilap dia supaya lebih hebat berlakon dari Aeril!