Minggu ini saja telah menyaksikan perlantikan Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Johor dan juga Ketua Polis Negara dan yang menariknya, kesemuanya bernama Khalid.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah. Beliau melahirkan rasa syukurnya dan berterima kasih atas sokongan semua pihak.
Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu. Semalam, Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam berkata, barisan baharu Exco Kerajaan Negeri Selangor akan dibuat selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baru semalam. Mohamed Khalid yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini kira-kira 10.40 pagi ini. Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Johor daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang memegang jawatan itu selama 18 tahun bermula daripada 1995. – Msia Kini
Bagi jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuatkuasa Jumaat (17 Mei) menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang bersara selepas tamat kontrak Khamis ini.
Khalid, 56, yang berasal dari Seremban dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menjalani latihan sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis pada 5 Dis 1976, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anti Narkotik Kedah pada 1997. Enam tahun kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang dan tidak berapa lama pada tahun yang sama dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuantan.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum setahun kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pada Jun 2007 dilantik sebagai Ketua Polis Selangor. Tiga tahun kemudian, pada 13 Okt 2010 beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dan tidak sampai setahun, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. – sumber