Sebuah lagi siri yang hit di Korea dan telah menular kepada penonton Malaysia, That Winter, The Wind Blows akan diulang tayangkan semula pada 1 Jun depan. Berita gembira ini malah berganda apabila pihak ONE HD telah menerbangkan hero drama bersiri tersebut, Zo In Sung ke Malaysia dan rantau ini dalam rangka promosinya. Zo In Sung yang baru kembali ke dunia seni selepas menamatkan khidmat ketenteraan pada 2011 itu hadir pada sesi temubual yang diadakan di hotel Hilton KL.
Pelakon tinggi lampai yang juga model ini mengakui bahawa peranannya di dalam That Winter, The Wind Blows menguji keupayaannya bermain emosi melalui watak Oh Soo. Oh Soo, kaki judi yang menipu waris hartawan kaya buta lakonan Song Hye Kyo dengan mengaku sebagai abang yang lama terpisah demi mencari wang membayar hutang-hutang judinya itu.
Malah, kami berpeluang menemubual beliau, ini antara soalannya: ( W – Wanista, Z – Zo In Sung )
W : Selamat datang ke Malaysia. Apakah pandangan anda tentang Malaysia, adakah anda gembira berada di sini?
Z : Saya belum berkesempatan melawat tempat di Malaysia kerana jadual agak padat tetapi saya rasa saya suka cuaca di Malaysia, agak berangin dan mentari memancar, saya tengok dari tingkap di bilik. Saya sukakannya. ( para media yang mendengar gelengkan kepala kerana cuaca Malaysia sangat panas dan bukannya berangin, malah saya turut ketawa lucu mendengar jawapan pelakon tinggi lampai ini)
W : Adakah anda sudah merasai makanan tradisional di sini?
Z : Belum lagi tapi saya sangat “excited” untuk merasainya.
W: Apakah pandangan anda tentang watak dalam drama That Winter, The Wind Blows?
Z : Ia merupakan watak jahat yang sangat sukar dan mempunyai pelbagai sisi yang berbeza melalui karektornya. Ketika dalam penggambaran saya perlu mencari dan mendalami watak ini untuk menjadikan ia ringkas dan mudah untuk saya lakonkan serta sampai kepada penonton. Malah, melakonkan watak ini turut mengajar saya tentang kehidupan yang sukar dijalani oleh mereka yang buta serta sokongan yang diberikan oleh individu sekeliling amat diperlukan.
W : Pengalaman bekerja dengan pelakon wanita Song Hye Kyo, adakah beliau seorang yang mudah bekerjasama atau sebaliknya?
Z : Song Hye Kyo merupakan pelakon yang berbakat malah dia sangat cantik. Dia juga mempunyai peribadi yang menawan. Saya suka bekerja dengannya.
W : Adakah anda membuat sebarang kajian tentang watak Oh Soo kerana anda cukup mendalaminya dan lakonan anda memberi impak?
Z : Sebenarnya tidak banyak kajian yang dibuat sebaliknya saya dan pelakon lain sentiasa mengadakan perjumpaan mesyuarat atau latihan dengan pengarah, produser dan juga penulis skrip agar kami tahu keseluruhan jalan cerita.
W : Apakah antara babak yang sukar atau menjadi memori kepada anda?
Z : Babak yang paling sukar adalah babak ciuman, babak tersebut sukar buat saya kerana ia memerlukan saya menumpukan sepenuh perhatian serta mainan emosi bagi memberikan ekspresi yang tepat menggambarkan perasaan ketika itu. Boleh dikatakan babak cium lebih melambangkan cinta dan ia sangat menyentuh perasaan orang yang menontonnya.
W : Dalam drama ini banyak lagu yang sungguh syahdu dimainkan, lagu mana yang paling anda ingati?
Z : Secara peribadi saya sukakan lagu And One dari Taeyoen. Sangat best.
W : Nyatakan 3 perkara yang peminat anda tidak ketahui tentang diri anda?
Z : Tinggi, kacak dan personaliti yang menawan.
W : Sejauh mana anda ingin capai dalam bidang lakonan?
Z : Saya tidak ada target dalam lakonan kerana bahasa menjadi penghalang jika saya mahu ke Hollywood dan sebagainya dan lebih selesa berlakon di Korea sahaja. Malah, masalah bahasa juga turut menyumbang kepada keputusannya itu namun tidak dapat meramalkan perancangan masa hadapan.
W : Jadi, ini merupakan comeback selepas beberapa tahun menyertai khidmat negara, apa yang anda rasa sekarang?
Z : Kemunculan semulanya dalam bidang lakonan selepas hampir lima tahun kerana menyertai khidmat negara nyata berbaloi. Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga dia banyak mempelajari tentang dirinya dan menjadi lebih matang sebagai pelakon.
W : Saya merasakan anda mempunyai kulit yang sangat berseri dan bersih, anda ada gunakan produk tertentu?
Z : ( Berfikir agak lama sambil tangan diletakkan ke pipi, menyentuh wajahnya) Sebenarnya saya banyak gunakan mask pad.
W : Bagaimana anda berinteraksi dengan para peminat?
Z : Saya berharap agar dapat bertemu dengan setiap peminat tetapi kekangan jadual yang padat. Malah, dengan tour sebegini saya dapat berinteraksi dengan para peminat. Saya bersyukur pihak pengurusan menganjurkan event sebegini. Bukan itu saja, melalui penghayatan yang baik dalam lakonan merupakan hadiah bernilai kepada para peminat yang sentiasa menyokong saya.
Bermula 1 Jun ini di saluran ONE HD, That Winter, That Wind Blows bakal memenuhi petang hujung minggu anda dengan mainan emosi menyentuh jiwa serta konflik diantara cinta dan keluarga. Tayangan semula drama bersiri ini adalah atas permintaan ramai dan peminat juga telah berpeluang menemui Zo In Sung di Paradigm Mall, semalam untuk sesi ramah mesra bersama peminatnya di sini.