Bagi yang baru sahaja bergraduasi, pastinya bingung untuk memilih syarikat apa yang terbaik untuk memulakan kerjaya mereka. Menurut laporan akhbar Berita Harian , sebanyak 21 syarikat tempatan termasuk tiga bank dinobatkan sebagai antara pemenang Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2013. Bank terbabit ialah CIMB Group Bhd, RHB Banking Group dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).
Penganugerahan itu adalah hasil kajian satu majalah terbitan Business Media International, HR Asia bertujuan mengenalpasti syarikat terbaik Asia dari aspek kepemimpinan, selain mengkaji maklum balas dari pekerja syarikat dan pakar bidang sumber manusia dan sebanyak 145 syarikat terbabit dalam kajian itu yang meliputi 12 negara di Asia.
Pastinya ada yang tertanya-tanya, bagaimana syarikat ini diangkat menjadi syarikat yang terbaik? Menurut Business Media International, syarikat yang dipilih tidak hanya pada profil mereka atau dasar sumber manusia, tetapi yang lebih penting adalah strategi modal insan bakat yang ada pada mereka.
Senarai 21 syarikat terbaik untuk memulakan kerjaya di Malaysia
- Air Asia Bhd
- B.Braun Medical Industries Sdn Bhd
- CIMB Group Bhd
- Dell Global Business Center Sdn Bhd
- Domino’s Pizza Malaysia/Sg
- EXIM Bank
- Golden Arches Sdn Bhd ( McDonald )
- Groupon Malaysia
- Hartalega Holding Bhd
- Jakel Trading
- Jotun ( Malaysia ) Sdn Bhd
- Mah Sing Group Bhd
- Malakolf Corporation Bhd
- MKH Bhd
- MTU Services ( M ) Sdn Bhd
- Paramount Property Development Sdn Bhd
- RHB Banking Group
- SAS Institude Sdn Bhd
- Senheng Electric ( KL ) Sdn Bhd
- Telekom Malaysia Bhd
- Vista Eye Specialists
Sejumlah 4,000 pekerja di Malaysia terbabit dalam kajian yang membabitkan pandangan mereka mengenai motivasi, hubungan emosi di tempat kerja, dan hubungan dengan majikan.
CIMB Group diiktiraf oleh pekerjanya berikutan komitmen perniagaan yang kukuh selain memberi ganjaran serta faedah kepada kakitangannya berdasarkan kepada kecemerlangan prestasi kerja. RHB Banking Group pula dipilih susulan amalan konsep nilai PRIDE, iaitu profesionalisme, hormat, integriti, dinamik dan kecemerlangan, manakala EXIM Bank berdasarkan inisiatif berterusannya dalam mewujudkan semangat setia kawan di kalangan pekerja.
Selain tiga bank tempatan itu, pengendali penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd; Telekom Malaysia Bhd; Malakoff Corporation Bhd; Mah Sing Group Bhd; dan MKH Bhd turut memenangi anugerah itu.