Berambut panjang, berbaju kurung sudah tentu membuatkan anda kelihatan ayu dan manis sekali di pagi Aidilfitri ini. Sememangnya wanita berambut panjang sinonim dengan gaya feminim begini. Malah ia juga menjadi pilihan wanita terutama yang suka melakukan pelbagai gaya rambut. Namun, tahukah anda rambut panjang lebih berisiko mengalami kerosakan rambut berbanding dengan rambut pendek. Lakukan perkara-perkara berikut agar anda kelihatan menawan di hari raya.
Potong hujung rambut
Rajinlah memotong terutama di bahagian hujung-hujung rambut (trim) setiap empat hingga enam bulan sekali. Ini merupakan cara terbaik untuk mencegah hujung rambut bercabang agar tidak rosak dengan lebih teruk lgi.
Guna perapi
Sila gunakan perapi jenis yang tidak dibilas. Ini bagi memastikan tahap kelembapan yang berterusan pada rambut selain membantu menjaga rambut sentiasa kuat terutama pada bahagian akarnya yang menjadi tunjang pada tahap kesihatan rambut. Jika rambut mudah rapuh, ada baiknya dapatkan rawatan di salon setiap kali anda mahu potong rambut.
Memilih syampu yang sesuai
Pastikan anda memilih syampu dengan formula yang direka khusus untuk jenis rambut. Rambut kering dan rosak misalnya perlukan syampu yang mampu berikan hidrasi. Manakala jika anda mahu dan sedang warnakan rambut, sebaiknya pilih syampu yang lembut yang mampu melindungi rambut. Sementara itu, bagi mereka yang memiliki rambut jenis tipis, pilih syampu dengan volumizing formula yang tidak akan menyebabkan rambut tampak melepek.
Minimumkan pengering rambut
Kurangkan penggunaan alatan seperti pengering rambut untuk keringkan rambut. Contohnya, pengering rambut ekstrak panas. Ia akan mendidihkan air di rambut sehingga menyebabkan gelembung-gelembung kecil terbentuk di sepanjang batang rambut dan melemahkan setiap helai rambut. Pilih had yang sesuai dan pengering tidak terlalu panas, ini kerana jika terlalu panas boleh menyakiti kulit rambut.
Perhatikan sikat yang anda guna
Silalah perhatikan sikat yang anda guna. Sikat yang baik adalah yang memiliki gigi-gigi yang bulat dan tidak tajam. Jangan gunakan sikat atau sisir berbahan nilon dengan hujung-hujung yang tajam. Elakkan juga terlalu lama menyikat rambut kerana ianya hanya akan merosakkan rambut. Begitu juga menyikat rambut teknik menunjuk boleh menyebabkan kerosakan rambut. Kaedah ini menyebabkan rambut mudah tersimpul dan sukar dileraikan.