
Pada penggemar shisha di Kelantan, awas ya kerana kerajaan negeri tetap bertegas untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan dan penggunaan shisha di mana-mana premis negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, arahan sedia ada itu diteruskan berikutan dengan maklumat yang diperolehi oleh pihak mufti negeri berkaitan salah laku perniagaan tersebut.
Ketika ditanya mengenai hukum penggunaan shisha kepada orang Islam, beliau yang juga Adun Bukit Panau itu turut menjelaskan pihaknya masih menunggu keputusan Majlis Fatwa tentang jawapan persoalan tersebut.
“Saya tak boleh kata haram atau tidak, saya bukan mufti, hanya Mufti Perlis kata haram, tapi majlis fatwa lain belum beri maklum balas lagi, jadi kita tunggu sehingga keputusan rasmi dari kementerian kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah yang diambil Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu yang didakwa boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk dari merokok. Selaras dengan itu juga CAP turut menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan fatwa untuk mengharamkan penggunaan bahan itu sepertimana rokok sebelum ini.