Menurut laporan Harian Metro, sebanyak 50,000 naskhah al-Quran akan disumbangkan kepada masyarakat Islam di Palestin khususnya di Gaza dan Baitul Maqdis dalam masa terdekat menerusi program Wakaf al-Quran sempena Ramadan yang dilancarkan semalam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan al-Quran itu diharap dapat memudahkan umat Islam di Palestin menggunakan kitab suci itu untuk sesi pembelajaran atau kegunaan bacaan harian.
“Jadi, pada program kali ini kita turut melaksanakan program wakaf al-Quran kepada umat Islam di Palestin, sekali gus menunjukkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada mereka sentiasa berterusan dan tidak pernah padam,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, semua al-Quran yang akan dihantar ke Palestin dicetak menggunakan mushaf Palestin dan bercirikan seni budaya negara berkenaan.
Menurutnya, langkah itu bagi menghidupkan semula jati diri seluruh masyarakat Islam di Palestin yang semakin hilang identiti akibat asakan hebat daripada bangsa Yahudi.
“Setakat ini 5,000 naskhah al-Quran mushaf Palestin sudah dicetak dan kita mempunyai masa sebulan untuk mencetak bakinya sebelum dihantar di sana,” katanya.