George Zimmerman tidak pernah menafikan menembak mati remaja lelaki Trayvon Martin, tetapi dia berkata, dia berbuat demikian kerana mempertahankan diri. Pada malam Sabtu lepas, juri Florida mendapati beliau tidak bersalah di atas kematian remaja tersebut.
Isu ini menjadi hangat apabila ramai yang menganggap Zimmerman membunuh remaja tersebut kerana isu perkauman. Enam juri – semua adalah wanita telah berbincang selama 16 jam setengah. Lima daripada wanita adalah berkulit putih dan satu daripada mereka golongan minoriti. Selepas hakim mengumumkan bahawa Zimmerman tidak bersalah, Zimmerman berpaling dan berjabat tangan seorang peguam sebelum duduk kembali dan tersenyum sahaja selepas mahkamah ditangguhkan.

Ibu bapa Martin, Tracy Martin dan Sybrina Fulton, tidak berada di dalam mahkamah apabila keputusan itu diumumkan. Tetapi mereka berkongsi emosi mereka di Twitter sejurus selepas itu. Walaupun kini Zimmerman merupakan seorang lelaki yang telah bebas, dia khuatir dengan keselamatannya dan juga keluarganya.
Ramai yang mengecam keras keputusan juri yang telah berpihak kepada Zimmerman. Kumpulan hak sivil di Amerika Syarikat telah menyatakan kekecewaan mereka selepas George Zimmerman didapati tidak bersalah membunuh remaja berkulit hitam Trayvon Martin di Florida pada tahun lepas.
Kes itu mencetuskan perdebatan sengit di Amerika Syarikat mengenai isu perkauman. Keluarga dan peguam Zimmerman telah berkata mereka kini takut kerana berkemungkinan menghadapi serangan balas dendam. Presiden Barack Obama berkata kematian itu merupakan tragedi bagi Amerika, dan berkata “juri telah membuat keputusan”.