
Anda ingin ke makan di kedai atau restoran yang kotor? Tak nak bukan.. Menurut laporan Bernama, tujuh kedai nasi kandar di Pulau Pinang adalah di antara 22 premis makanan di negeri ini yang diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri kerana didapati kotor.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata, pihaknya memantau beberapa hari di premis makanan terbabit sebelum melakukan operasi selama enam jam bermula pukul 9 pagi tadi.
“Antara kes yang dikesan adalah kewujudan serangga vektor dalam bahan memasak, peti sejuk tidak berfungsi dengan baik, bahan makanan diletakkan di tempat tidak sepatutnya dan penggunaan alatan memasak yang kotor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata 34 premis diperiksa iaitu empat di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (13), Seberang Perai Selatan (enam), Daerah Timur Laut (lima) dan enam di Daerah Barat Daya.
Ku Nafisah berkata, sehingga Jun tahun ini, 3,288 premis makanan telah diperiksa dan 96 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Katanya, operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha makanan menyedari tanggungjawab menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pengendalian makanan yang selamat. Jadi, pesanan kami sebelum anda makan di sesuatu tempat silalah titik beratkan soal kesihatan.