Menurut laporan Utusan Online, seorang pramugari warga China, Ma Ailun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menjawab panggilan telefon pintar iPhone 5 ketika telefon itu dicas. Berita kematian Ailun menimbulkan kritikan berjuta-juta pengguna telefon iPhone 5 terhadap pengeluarnya, Apple Inc.
Pramugari China Southern Airlines yang bakal berkahwin itu, dilaporkan membeli telefon tersebut di kedai rasmi Apple di Xinjiang pada Disember lalu. Adik lelakinya, Yuelun memberitahu akhbar Hong Kong, Apple Daily bahawa telefon tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk siasatan.
“Keluarga saya percaya, kakak saya meninggal dunia akibat renjatan elektrik semasa menjawab panggilan telefonnya. Telefon itu serta aksesorinya telah diserahkan kepada pihak berkuasa China,” katanya.
Adik Ailun menjelaskan kakaknya membeli iPhone 5 disebuah kedai rasmi Apple pada Disember lalu dan menggunakan alat pengecas asli ketika kengecas telefon.
Apple turut memberi jaminan akan melakukan siasatan terhadap kematian tersebut, kejadian terbaharu yang memberi tamparan kepada syarikat teknologi berkenaan di pasaran kedua terbesarnya selepas Amerika Syarikat (AS). Syarikat itu bagaimanapun enggan menyatakan sama ada pihaknya menyiasat kejadian itu sebagai kes terpencil atau menimbangkan untuk menarik semula produk berkenaan.