Sebelum ini kami telah terbitkan artikel berkaitan ketidakpuasan hati dan pertikaian dua finalis Ratu Cantik Malaysia, Wafa Johanna De Corte dan Sara Amelia Bernard mengenai pengguguran nama mereka dalam pertandingan itu. Hari ini, dua bekas peserta tersebut berhadapan risiko dihukum penjara sekiranya mereka didapati salah kerana menghina agama sendiri baru-baru ini.
Gempar: Dua Finalis Miss Malaysia Pertikai Keputusan Larang Sertai Ratu Cantik
Ia kerana kedua-dua mereka kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559). Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya kepada mana-mana pihak yang menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Kedua-dua peserta pertandingan ratu cantik itu di siasat kerana mengeluarkan kenyataan kepada umum akan terus menyertai pertandingan tersebut pada 2 Ogos ini serta mendakwa berasa kecewa dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.
“Oleh itu, kenyataan (dua peserta Miss Malaysia World 2013) tersebut dianggap telah menghina agama Islam. Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan JAWI telah membuka kertas siasatan ke atas mereka.
“Sekiranya terdapat bukti serta keterangan yang mencukupi maka pendakwaan akan dibuat terhadap mereka yang terlibat di Mahkamah Syariah. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” kata kenyataan itu. – mynews