Psy berkata: “Jika saya gembira, saya minum. Jika saya sedih, saya minum. Jika hari hujan, saya minum. Jika hari cerah, saya minum. Jika hari panas, saya minum dan jika hari sejuk, saya juga minum.” Psy juga berkata, dia “banyak berkhayal” akibat mengambil dadah.
Pemilik lagu Gangnam Style baru-baru ini mengaku dia memang kaki botol dan menyifatkan vodka sebagai “teman baiknya”. Bintang ternama Korea Selatan yang berusia 35 tahun menyifatkan dirinya menjadi kaki botol sejak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kemasyuran yang diraihnya. Selain vodka, Psy juga turut meminati wiski dan tequila.
Laporan sebelum ini mendedahkan Psy pernah menjalani hukuman penjara sebelum lagu Gangnam Style dilancarkan kerana didapati bersalah memiliki ganja pada tahun 2001. Dia menjelaskan itu merupakan pengalaman dan kejatuhan amat teruk dalam hidupnya.
“Tetapi sebagai artis, lebih banyak pengalaman, lebih baik hasilnya. Saya seorang yang positif. Jadi, jika sesuatu yang buruk berlaku, saya fikir mungkin ia terjadi kerana terlalu banyak kebahagiaan datang kepada saya.”
Psy turut berkata dia telah mempersembahkan Gangnam Style 1,000 kali di 20 negara berbeza tahun lalu dan langsung tidak bertemu dengan isteri serta anak perempuan kembar mereka yang berusia lima tahun sejak April. – Metro