Hati ibu bapa mana yang tidak terguris tatkala mendengar kata anak sendiri yang membenci mereka biarpun dengan alasan kukuh ataupun tidak. Perkataan itu seringkali dikeluarkan oleh anak anda biarpun tanpa dimaksudkan dan akan tetapi jangan jadikan itu alasan untuk ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka juga. Jangan bertindak dengan memarahi ataupun memukul. Tahan diri anda kerana ada cara bijak untuk mengatasi situasi sukar seperti ini.
Jangan terpedaya
Sekali saja kita terpancing atau marah kerana perkataan yang dikeluarkan oleh anak kita, maka di lain waktu dia akan menggunakan kata yang sama atau bahkan lebih jahat dari itu untuk menyakiti kita. Jadi, yang pertama anda harus tenang dan tidak terpengaruh dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh anak kita. Tunjukkan yang anda mempunyai kuasa untuk menangani masalah dengan lebih baik.
Jangan disimpan di dalam hati
Seorang penulis buku How To Behave So Your Children Will, Too! menulis bahawa anak kecil tidak boleh mengungkapkan perasaan hatinya dengan jelas. Kerana itu, mereka menggunakan kata-kata yang ekstrim seperti kata “benci” untuk menggambarkan ketidaksetujuan mereka terhadap didikan kita. Mereka tidak tahu maksud sebenar perkataan tersebut, jadi jangan terlalu dianggap serius.
Keluarkan Kata-Kata Yang Sebaliknya
Daripada menangani masalah ini dengan kasar, lebih baik keluarkan kata-kata sebaliknya iaitu kata-kata sayang. Untuk apa kita bertindak balas dengan kata-kata atau tindakan yang buruk kerana itu hanya akan membuat hubungan semakin buruk? Kerana itu, tunjukkan kasih sayang anda saat dia merasa seperti itu agar dia tahu bahawa larangan yang diberikan tidak ada hubungannya dengan benci. Ucapkan kata-kata seperti ini, “Sayang sekali kamu benci dengan ibu, kerana ibu sangat menyayangimu.”
Jelaskan dengan baik bila saat sudah tenang
Apabila anda dan anak sudah reda perasaan marah, ajak berbincang dengan anak dari hati ke hati. Ungkapkan padanya bahawa lebih baik menggunakan kata “marah”, “kecewa”, atau “tidak suka” daripada menggunakan kata “benci”. Jelaskan juga walaupun dia tidak menerima cara didikan anda, ada masanya seorang anak harus tetap melakukannya demi kebaikan mereka.
Ibu bapa adalah teladan bagi anak-anak, kerana itu setiap perkataan dan perbuatan kita menjadi penanda aras mereka untuk masa hadapan. Anak yang mengeluarkan perkataan yang buruk, boleh terjadi daripada suasana persekitaran dan juga rasa tak terimanya yang mendalam. Kerana itu, kita perlu bijaksana dalam bertindak mahupun berkata-kata.