Menurut laporan yang kami terima dari sumber Bernama, pengguna Islam dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli barangan kulit dan pinggan mangkuk secara ‘online’ atau dalam talian kerana dikhuatiri mengandungi unsur haram. Datuk Nadzim Johan yang merupakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna berkata pembelian melalui Internet boleh menimbulkan kekeliruan kerana gambar yang tidak jelas.
Di samping itu Nadzim berkata, perkakasan dapur khususnya pinggan mangkuk juga perlu diberi perhatian kerana kebanyakan yang dibuat di luar negara berkemungkinan mengandungi campuran tulang.
“Bukan hanya sumber daripada babi itu haram tetapi pinggan yang mengandungi campuran tulang lembu juga haram sekiranya lembu itu tidak disembelih,” katanya lagi.
Nadzim berkata, pengguna Islam perlu memastikan produk yang dibeli diperbuat daripada sumber yang sah kerana ia adalah hak setiap umat untuk mendapatkan barangan yang bersih dan halal kerana ia mempengaruhi amalan serta ibadat.
Menurutnya, pengguna tidak harus menilai rupa bentuk dan harga murah yang ditawarkan semata-mata tetapi perlu mendapatkan jaminan penjual antaranya dengan menyertakan sijil sebagai bukti.
Katanya, gaya hidup masyarakat yang lebih gemar membeli barangan unik dan dianggap eksklusif perlu diubah kerana untuk mendapatkan yang unik, orang ramai kadang kala tersilap langkah sehingga terbeli barangan yang tidak sepatutnya.
Justeru, beliau menyarankan masyarakat supaya membeli sesuatu produk di kedai kerana ia bukan saja membolehkan pembeli berinteraksi secara terus dengan peniaga tetapi juga dapat menilai kualitinya.