Menurut laporan Sinar Harian, Noor Zia Atmar merupakan ahli parlimen wanita pertama Afganistan berjaya menuntut cerai dari suaminya selepas menderita menjadi mangsa dera. Wanita tersebut sebelum ini merupakan salah seorang wanita yang telah menjadi contoh dengan menunjukkan bagaimana hak-hak wanita dipulihkan selepas kejatuhan zaman Taliban tahun 2001.
Malah, paling menyedihkan lagi Atmar yang berusia 40 tahun telah menetap di rumah kebajikan selepas melarikan diri daripada suami yang kejam termasuk keluarga sendiri yang menderanya. Atmar memberitahu pemberita: “Kaum wanita kini berada dalam keadaan yang lebih buruk.
“Setiap hari mereka dibunuh, telinga, hidung mereka dipotong, ia bukan sahaja wanita di kampung tetapi juga perempuan seperti saya,”katanya.
Atmar kembali bersama keluarganya ke Afghanistan dari Pakistan pada tahun 2001, setelah pencerobohan pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang membuang Taliban.
Beliau berkhidmat di Parlimen yang pertama setelah pilihan raya pertama negara ini pada 2005 dan telah memainkan peranan penting terutama mendapatkan undang-undang bagi mengharamkan lebih 20 perbuatan ganas terhadap wanita.
Bagaimanapun keadaan itu berubah setelah beliau berkahwin dengan seorang ahli perniagaan. Ini kerana, setelah Atmar kalah dalam pilihan raya, suaminya yang diharap memberi kata-kata semangat dan sokongan nyata tidak berbuat demikian sebaliknya melakukan penyeksaan ke atas dirinya.
“Apabila suami saya mabuk, dia akan mendera saya, ia satu penyeksaan, dia juga melarang saya menggunakan telefon.
“Bila saya meminta perceraian, keluarganya tidak membenarkan. Mereka mengatakan ini sebuah masyarakat tradisional dan dengan tindakan saya ini akan membuat malu keluarga,” jelas Atmar.