Lagi berita menyedihkan yang kami ingin kongsikan ekoran pertempuran di Mesir, seorang jurukamera dari Sky News iaitu Mick Deane telah ditembak mati di Mesir awal pagi tadi. Jurukamera yang berusia 61 tahun itu telah berkhidmat di Sky selama 15 tahun manakala pejabatnya berpengkalan di Washington dan Jerusalem.
Bapa kepada dua orang anak itu adalah sebahagian daripada pasukan media yang dihantar untuk membuat liputan kekejaman di Kaherah. Menurut laporan Sky News, petugas-petugas media lain dari agensi Sky dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketua Editor Sky News, John Ryley menyifatkan Mick adalah jurukamera yang sangat berkaliber, wartawan yang bijak serta menjadi mentor kepada ramai petugas media di Sky.
“Dia (Mick) merupakan wartawan berfikiran kelas pertama. Dia mempunyai pelbagai idea-idea bernas.
“Saya dan petugas-petugas media yang lain pastinya akan merindui dia,” ujar John.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyampaikan ucapan takziah menerusi laman sosial Twitter miliknya.
“Saya sedih mendengar khabar kematian jurukamera Mick Deane yang membuat liputan kekejaman di Mesir.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang dan warga kerja Sky News.”
– sumber