Minggu lalu, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) telah mengumumkan sasaran kutipan dana amal sebanyak RM1 juta untuk mengubahsuai dan menyelenggara Rumah Ronald McDonald, satu usaha yang pastinya menggembirakan kanak-kanak dan para ibu bapa yang mendapat manfaat dari kemudahan tersebut. Rumah Ronald McDonald telah dibina pada 1999 dan merupakan rumah sementara bagi kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan untuk penyakit-penyakit serius di PPUKM.
“Para penghuni Rumah Ronald McDonald (RMH) kebanyakannya terdiri daripada keluarga-keluarga dengan anak-anak yang menghidap kanser dan leukemia yang datang dari pelbagai negeri di Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan khas di PPUKM. Tempat tinggal lengkap yang disediakan oleh RMH memberi manfaat dari pelbagai aspek dalam mengurangkan bebanan keluarga-keluarga berpendapatan rendah ini. Antara lainnya, berkongsi tempat tinggal dengan keluarga-keluarga lain yang sedang melalui perkara yang sama akan memberikan sokongan yang sangat diperlukan untuk membantu keluarga-keluarga ini meneruskan perjalanan mereka untuk sembuh,” kata Chan Chee Chin, Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia.
Rumah Ronald McDonald telah dirasmikan oleh YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pada 21 Jun 1999. Kemudahan ini mempunyai 19 bilik tidur yang dilengkapi bilik air di samping pelbagai kemudahan lain seperti kawasan dapur-dan-makan, kawasan TV, kawasan permainan kanak-kanak, bilik komputer dan bilik membasuh pakaian.
“Sejak 14 tahun lalu, ia telah dimanfaatkan oleh lebih daripada 450 buah keluarga dan sudah tiba masanya ia menjalani pengubahsuaian. Kemudahan-kemudahannya perlu dinaik taraf untuk memenuhi kapasiti para penghuninya. Selain itu, rupa dan gaya rumah ini juga perlu dikemas kini untuk memberikan persekitaran yang lebih mesra dan selesa untuk kanak-kanak yang menghuninya,” tambah Chan Chee Chin.
Sebahagian daripada usaha mengumpul dana untuk pengubahsuaian tersebut adalah melalui hasil kutipan daripada Kejohanan Golf Amal RMHC-Tropicana ke-20 yang akan diadakan pada 28September 2013 di Tropicana Golf & Country Resort. Sementara itu, orang ramai dijemput untuk menyumbang kepada Rumah Ronald McDonald dengan menyalurkan derma bagi tujuan murni ini. Maklumat lanjut mengenai kutipan derma tersebut akan diumumkan di laman web RMHC Malaysia, www.rmhc.org.my dan laman Facebook McDonald’s Malaysia dalam masa terdekat.