Untuk pengetahuan anda, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa operator loji bagi pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Rantau Panjang iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan operator loji bagi LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengesan pencemaran air di Sungai Selangor disebabkan tumpahan minyak diesel terletak di hulu sungai muka sauk air mentah loji-loji rawatan air berkenaan.
Tumpahan minyak diesel ini telah dikesan oleh operator loji berkenaan sekitar jam 8.00 pagi, 30 Ogos 2013 dan ekoran daripada itu, kedua-kedua operator loji berkenaan telah menghentitugas keempat-empat loji rawatan berkenaan di antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi ini.
Pihak operator loji berkenaan memaklumkan bahawa ianya dijangka akan mengambil masa sekitar 14 jam sebelum tumpahan minyak diesel tersebut melewati muka sauk air mentah loji rawatan air masing-masing. Di samping itu, pihak kedua-dua operator loji rawatan air sedang memantau keadaan bagi memastikan air yang tercemar tidak mengalir masuk ke loji rawatan air supaya setiap LRA dapat beroperasi semula dengan kadar segera apabila pencemaran tidak berlaku lagi.
Ke empat-empat loji rawatan air ini mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 Juta Liter Sehari (JLH) dan merupakan 57% daripada jumlah permintaan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sehubungan itu, jika hentitugas loji rawatan air ini berlarutan ke tempoh yang lebih lama, sebahagian para pengguna dijangka akan mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di tujuh (7) wilayah pengguna iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor terutamanya kawasan pengguna yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air dan di tempat yang tinggi atau dengan simpanan yang kecil. Sehubungan itu, para pengguna pada masa kini hanya bergantung kepada simpanan air terawat yang ada di kolam-kolam imbangan keempat-empat loji rawatan dan kolam-kolam perkhidmatan SYABAS yang berada setiap kawasan pengguna.
Pihak SYABAS ingin memaklumkan bahawa hentitugas LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang kali ini akan menyebabkan masa pemulihan (recovery) yang agak lama walaupun setelah ke empat-empat loji rawatan air dapat beroperasi seperti sediakala.
Memandangkan kemungkinan gangguan bekalan air berlarutan dan melibatkan kawasan yang besar dan bilangan pengguna yang terlibat adalah sangat ramai, pihak SYABAS akan menggerakkan kesemua sumber yang ada bagi membantu pengguna dalam penghantaran bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik.
Untuk makluman, SYABAS akan menyediakan sebanyak 42 lori tangki air dan 525 tangki statik untuk tujuan ini. Walaubagaimanapun, pihak SYABAS ingin memaklumkan bahawa pihak SYABAS tidak dapat menyediakan sumber yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semua pengguna terlibat kerana jumlah pengguna yang terlibat adalah sangat ramai. Oleh yang demikian, para pengguna yang terlibat dinasihatkan agar bersabar dengan menggunakan air untuk tujuan utama sahaja.
Sebagai langkah persediaan awal, SYABAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah bagi wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor pada jam 4:00 petang hari ini dan meletakkan kakitangannya dalam keadaan tunggusedia untuk mengurus gangguan bekalan air disebabkan hentitugas tidak berjadual loji-loji rawatan tersebut termasuk bantuan bekalan air kepada pengguna yang terlibat.
Untuk maklumat lanjut mengenai info terkini gangguan dan catuan air di Selangor , Kuala Lumpur, anda boleh rujuk FB Puspel Syabas atau laman web rasmi Syabas