Sedih juga apabila membaca kenyataan demi kenyataan oleh pemimpin negara yang sepatutnya memberikan komen yang lebih membina dan ‘bijak’. Kalau sebelum ini harga ayam naik, mereka suruh rakyat berhenti makan ayam. Kalau tidak suka Malaysia, boleh keluar dari Malaysia… Kali ini Datuk Seri Idris Jusoh iaitu Menteri Pendidikan II berkata kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak mengambil keputusan menghantar anak mereka ke luar negara kerana tidak meyakini sistem pendidikan di Malaysia. Dengan kata lainnya, jika tidak suka sistem pendidikan Malaysia, boleh pergi belajar di luar negara. Dan kemudian apabila rakyat Malaysia tidak mahu balik ke negara sendiri, di kata pula lupa daratan dan tidak mahu berbakti pada negara. Apa pilihan yang rakyat ada?
Menurut beliau juga, tiada sebarang tindakan dapat diambil untuk menghentikan rancangan Putrajaya meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) kerana ianya telah dirasmikan. Menurut Idris, sebagai sebuah kerajaan, Putrajaya tidak akan berdolak-dalih lagi meskipun pelan berkenaan menerima reaksi negatif daripada pertubuhan persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik dari Pakatan Rakyat (PR). Ahli Parlimen Besut itu menegaskan, kerajaan telah merencana pelan berkenaan dengan segala perincian, termasuk mengambil kira pandangan 55,000 pihak berkepentingan daripada dalam dan luar negara.
Berikut kami sertakan 11Anjakan Untuk Transformasi Sistem – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk dinilai sendiri oleh pembaca.