Menurut laporan Kosmo, terdapat seramai 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada kira-kira 28 juta penduduk di negara ini menghidap penyakit kencing manis berikutan pengambilan gula dalam makanan dan minuman secara berlebihan.
Malah, disebabkan itu kerajaan disarankan agar mengurangkan subsidi harga gula secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman sekali gus mengurangkan penghidap diabetes.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata penyakit kencing manis (diabetes) menjadi masalah besar kepada negara kerana mereka yang menghidap penyakit itu akan berisiko mengidap penyakit lain seperti masalah penglihatan dan penyakit buah pinggang.
Setakat ini, katanya dilaporkan terdapat seramai 16,000 orang pesakit buah pinggang dalam senarai menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ itu daripada penderma yang purata hanya terdapat seramai 40 hingga 50 orang setahun.
Beliau turut mencadangkan agar pekedai makanan dan minuman tidak mencampurkan gula dalam minuman yang dipesan pelanggan sebaliknya meletakkan gula dalam bekas berasingan supaya pelanggan boleh membuat pilihan sama ada menggunakan gula atau sebaliknya dalam minuman. – BERNAMA