Jurusolek profesional, Monica Lee telah memberikan beberapa nasihat dan tips mengenai barangan kecantikan yang mesti dimilik bagi setiap bakal pengantin.
Produk Pelbagai Fungsi
Antara produk utama yang mesti ada ketika menyolek pengantin adalah produk yang boleh digunakan untuk lebih daripada satu tujuan. Sebagai contoh, ‘makeup oil’ adalah produk pelbagai fungsi yang sangat berguna untuk para pengantin. Ianya membantu melembapkan kulit dan boleh digunakan untuk membersihkan pembayang mata yang comot, melembutkan kutikel dan sebagai pelembap untuk seluruh badan. Sebagai contoh, Bio Oil, Johnson Baby Oil dan banyak lagi yang boleh didapati di pasaran.
Primer Solekan
Kebanyakan wanita tidak menggunakan produk ini, terutamanya ketika ingin cepat. Namun bagi bakal pengantin, mengambil masa untuk bersiap adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan pada hari istimewa mereka. Sekiranya anda mengenakan solekan sendiri, gunakanlah primer solekan dari jenis yang baik untuk memberikan asas yang licin bagi bedak asas dan penyamar cela. Menggunakan primer boleh mengawal minyak dan mengelakkan solekan daripada ‘cair’.
Gam Bulu Mata Palsu
Memakai bulu mata palsu ketika mengambil gambar perkahwinan membuatkan mata kelihatan lebih besar dan memberikan kesan yang lebih dramatik selepas menggunakan maskara. Bukan itu saja, bakal pengantin dinasihatkan menyimpan gam bulu mata palsu di dalam beg mereka untuk saat-saat kecemasan, kalau boleh gam yang bertona gelap seperti coklat atau hitam supaya sesuai dengan penggaris mata. Walaupun bulu mata palsu kelihatan rapi pada permulaan hari, ia mungkin tertanggal pada penghujung majlis. Jadi, gam bulu mata palsu adalah satu kemestian!
Pin Rambut
Pin rambut adalah sesuatu yang perlu ada di dalam setiap beg solekan. Sama ada rambut disanggul atau dilepaskan, pin rambut penting kerana anda mungkin mahu mengemaskan rambut yang terkeluar, terjatuh atau ingin mengikatnya supaya boleh menari di kawasan tarian yang sesak! Tidak seperti getah pengikat, pin rambut tidak meninggalkan kesan pada rambut dan boleh disorok ke dalam rambut.
Pengilat Bibir
Barangan kelima yang paling penting untuk disimpan di dalam beg adalah pengilat bibir atau gincu untuk memberikan sentuhan warna yang sihat kepada wajah anda. Sedikit pengilat bibir akan melengkapkan gaya anda dengan segera, memastikan wajah anda kelihatan segar dan bersedia untuk kamera! Pastikan bibir anda kekal lembap sepanjang hari dengan menyapukan sebarang jenis minyak khas untuk jenis kulit. Gincu jenis matt agak mengeringkan jadi campurkannya dengan ‘makeup oil’ untuk mengelakkan bibir dari pecah.