Tahukah anda bahawa strategi diet anda berkemungkinan tidak akan berhasil sama sekali? Di sini, kami menyenaraikan 4 mitos diet yang sebenarnya menghalang anda daripada mencapai berat badan yang anda inginkan.
Mitos diet 1 : Soda diet bantu kurangkan berat badan
Soda diet mempunyai kalori yang rendah berbanding soda biasa. Bagaimana? Ianya tidak menggunakan gula seperti biasa. Satu kajian menunjukkan, pemanis tiruan merangsang deria rasa yang merasa kemanisannya dalam kerongkong dan perut. Untuk pengetahuan anda, bahan kimia yang dihantar ke otak untuk isyarat kekenyangan menjadi keliru sama ada badan anda sebenarnya menerima kalori atau tidak. Oleh sebab badan anda ‘ditipu’ dengan pengganti gula, anda akan mengidam lebih banyak makanan sekaligus menyebabkan anda akan berasa lapar dan kurang kenyang, jadi pertambahan berat badan berlaku. Pilihlah alternatif yang sihat dan mudah seperti segelas air lemon atau limau daripada mengambil soda.
Mitos diet 2 : Pasta menjadikan anda gemuk
Ianya bukan salah pasta menjadikan anda gemuk tetapi jumlah pasta yang anda ambil. Jika anda makan apa sahaja makanan terlalu banyak, dan tidak melakukan senaman untuk membakarnya, badan anda akan menyimpannya sebagai lemak. Jadi, sama ada roti atau pasta atau nasi, ianya sebenarnya tentang jumlah dan kalori tambahan yang anda ambil, bukannya karbohidrat. Kawal pengambilan makanan anda, itu kunci paling utama untuk medapatkan berat badan ideal.
Mitos diet 3 : Makan jam 8 malam akan menaikkan berat badan anda
Terdapat beberapa fakta yang betul tentang mitos ini. Pakar mencadangkan supaya tidak makan selepas pukul 8 malam kerana kajian menunjukkan bahawa anda akan lebih cenderung untuk makan terlalu banyak dan mengambil banyak kalori apabila anda makan lewat malam. Mungkin keletihan akan menyebabkan anda makan terlalu banyak makanan yang salah lantas menambahkan berat badan. Walaubagaimanapun, ianya bukan masa pengambilan yang perlu dititikberatkan tetapi jumlah kalori yang anda ambil perlu diperhatikan.
Mitos diet 4 : Mengurangkan makanan berlemak adalah satu alternatif yang sihat
Lemak ialah salah satu perkara yang membuatkan makanan rasa lebih enak. Apabila lemak dikeluarkan daripada makanan, terdapat banyak perisa turut dikeluarkan. Justeru itu, perasa tambahan seperti gula, bahan kimia dan ‘thickeners’ sering ditambah untuk meningkatkan rasa dan tekstur makanan. Namun, perasa tambahan ini lebih buruk untuk anda dan sebahagian daripadanya hanya menggemukkan. Kesimpulannya, anda disarankan untuk memilih makanan yang segar atau anda juga boleh membeli makanan yang mempunyai lemak tetapi ambilnya secara sederhana.