Pelakon dan model, Zarina Anjoulie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis eramin 5 seberat 0.6 gram, tiga hari lalu. Dia dituduh memiliki dadah dalam simpanan di sebuah kediaman mewah di Damansara Damai, di sini, kelmarin.
Zarina, 26, bersama seorang lagi rakannya, pelajar kolej swasta, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 26, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat No C-3-10 Armanee Condo, Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, dekat sini pada jam 5.30 petang, 30 Disember 2012.
Menurut sumber, pasukan polis menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan sejurus menerima maklumat daripada orang awam mendakwa kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah. Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama apabila tidak membuka pintu walaupun polis sudah memperkenalkan diri. Selepas pegawai yang mengetuai serbuan mengetuk pintu rumah, suspek wanita membuka tingkap, tetapi segera menutupnya semula selepas menyedari kehadiran polis.
Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan ditetapkan pada 8 Februari ini.
Sumber : Berita Harian
Sumber : MyNewsHub