Geng Susu dikatakan kembali aktif apabila menjadikan sebuah kedai serbaneka di Segamat sebagai sasaran. Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, 11 orang ahli Geng Susu, sembilan daripadanya wanita yang memakai pakaian mengandung berpurdah dan berbaju kurung dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mencuri di pasar raya terbabit.
Jurujual kedai serbaneka itu, Aini Rahman,22, berkata dia berasa hairan kerana didatangi sekumpulan wanita mengandung. Saya sangka mereka dari mana-mana persatuan bukan kerajaan (NGO). Mereka kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan kecil dan memasuki lorong rak pelbagai produk barangan susu tepung berjenama.
Saya juga terdengar percakapan salah seorang wanita terbabit kepada rakannya yang mengatakan aku mengandung dua bulan, kau lapan bulan, kau kena ambil lebih sedikit dalam loghat asing, katanya.
Katanya, pada masa sama ada tiga lelaki yang bersama kumpulan itu mundar-mandir seperti cuba mengaburi CCTV yang terpasang.
Beberapa minit kemudian mereka keluar dan menghilangkan diri melalui pintu utama premis. Saya mengesyaki sesuatu lalu memeriksa rak pameran dan mendapati beberapa tin susu telah hilang.
Selepas menyemak rakaman di CCTV, tiga lelaki dikesan mengambil barangan dirak. Ketika berselisih dengan wanita terbabit, lelaki itu memasukkan hasil curian ke dala baju kurung yang dipakai mereka, katanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.