Pemain bass kumpulan New Boyz, Radin Irwan Dzul Karnain Isagani atau lebih dikenali sebagai Zack New Boyz dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 1.321 kilogram, tiga tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat banyak kelemahan dalam siasatan polis yang membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.
Zack, 33, didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,321 kilogram di satu unit sebuah kondominium di Persiaran Surian, Petaling Jaya pada jam 9.20 malam, 26 Januari 2010.
Radin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika abit kesalahan.
“Walaupun dikatakan tertuduh yang buang (dadah) tetapi ia hanya menunjukkan pengetahuan bukan pemilikan (ke atas dadah). Justeru saya berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan,” kata Akhtar.
Zack ketika ditemui pihak pemberita di luar mahkamah bersyukur kerana akhirnya keadilan berpihak kepadanya selepas hamper tiga tahun direman di Perjara Sungai Buloh.
Apabila ditanya mengenai hubungan dengan anggota New Boyz yang lain, beliau berkata rakan-rakannya sering melawatnya di penjara dan sepanjang berada dalam tahanan beliau sempat mencipta 12 lagu baru untuk kumpulannya. – Bernama
Kumpulan New Boyz merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu. Mula bertapak dalam Industri Muzik Tanah Air pada tahun 1999 sehingga kini.