Sudah hampir setahun Ana Raffali mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Ahmad Aznaim. Namun hingga kini masih belum ada khabar gembira mengenai pasangan ini. Pasangan ini masih belum ada rezeki untuk meminang cahaya mata.
“Kami masih menantikan berita gembira, lagipun rezeki daripadaNya. Tolong doa-doakanlah,” jelas Ana Raffali yang bernikah dengan pengurusnya sendiri pada Februari 2012 lepas.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa dia jarang muncul di khalayak ramai kerana dikongkong suami.
“Tidak ada kena mengena dengan suami saya. Kontrak bersama label sebelum ni sudah tamat jadi saya mengambil keputusan untuk mempersiapkan diri untuk tampil dengan produk baru yang diterbitkan oleh label saya sendiri, About the Letter A Sdn Bhd”, katanya.
“Banyak perkara yang perlu saya belajar demi memperbaiki kelemahan diri dari segi vokal dan juga penulisan lagu. Pada masa yang sama, syukur Alhamdulillah saya juga banyak menerima undangan persembahan untuk majlis tertutup serta acara bersama masyarakat umum di luar Kuala Lumpur.” – Oh Bulan
Beliau yang kini dalam proses menyiapkan karya terbarunya yang berjudul ‘Jauh Ke Syurga’. Ana Raffali berkata, lagu ini bakal memberikan sedikit kelainan pada pendengar kerana ia merupakan sebuah lagu kasih sayang dalam bentuk doa.