Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan tidak lama lagi.
Projek yang dimaksudkan ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai- Kota Bharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar, perumahan rakyat dengan peringkat permulaan yang melibatkan 3000 unit, sistem pengakutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus Bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan seramai 5000 pelajar dan menyelesaikan masalah air.
Beliau berkata, tujuh projek ini akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional nanti.
“Ambo sebut tujuh perkara ini dan hanya sebahagian sahaja dari manifesto. Tidak lengkap lagi. Ambo hendk simpan. Nanti ambo datang lagi, ambo umum yang lain. Ambo simpan modal,” kata PM ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung.
Pengumuman ketujuh-tujuh projek tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 50,000 orang yang hadir pada majlis tersebut.
Beliau berkata lagi, rakyat Kelantan dahagakan pembangunan termasuklah tujuh projek itu dan kerajaan BN akan menunaikan janji tersebut demi kemajuan mereka.
Menurut Najib, transformasi tidak boleh dilakukan hanya dengan slogan atau mencorakkan cat hijau di dinding, bumbung dan pagar sahaja sebaliknya secara menyeluruh kepada rakyat seperti program pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan BN.
Beliau berkata, hanya dengan transformasi sahaja, masa depan rakyat Kelantan boleh diubah dan diperbaiki yang mana BN sentiasa meletakkan kemahuan tersebut sebagai sebahagian dasar perjuangan parti itu. – Bernama