Memiliki kerjaya yang bagus dan mamapu menyara hidup dengan pendapatan bulanan ternyata tidak memadai bagi sesetengah wanita tempatan yang sanggup menggadaikan maruah menjadi pelacur kelas atasan dewi kemewahan.

Mereka bekerja secara sambilan dan hanya melayan pelanggan apabila ada masa terluang, namun apabila diberkas, ada yang mendakwa terperangkap dengan jerat sindiket.
Hakikatnya, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan, sindiket itu tidak memaksa wanita terbabit memperdagangkan diri, tetapi hanya mempelawa dengan jaminan upah lumayan.
Mereka bergerak menerusi orang tengah atau ‘ibu ayam’ atau ‘mami’ yang akan mencari pelanggan untuk mereka. Ada mami ini sebenarnya rakan kepada wanita berkenaan.
Berdasarkan serbuan sebelum ini, Abdul Jalil berkata, ada mami yang sebenarnya merupakan pengusaha salun kecantikan dan menjalankan kegiatan tidak bermoral itu secara sambilan.
Kegiatan itu yang membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 20-an itu dikesan di sekitar Lembah Klang, Johor Bharu serta Pulau Pinang dan bergerak secara eksklusif, membabitkan pelanggan elit dan profesional.
Mereka yang ditahan, sama ada terlibat atau menjadi ejen bagi kegiatan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.
Statistik terkini D7 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 2,772 wanita tempatan ditangkap terbabit pelacuran tahun lepas, berbanding 1,801 pada 2011, iaitu peningkatan 54 peratus.
Sebanyak 42,788 serbuan dijalankan tahun lepas dengan serbuan tertinggi di Johor Bahru iaitu 8,749 serbuan berbanding 7,288 serbuan pada 2011. Ini diikuti Kuala Lumpur (8,620); Selangor (6,663) dan Perak (5,426).
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata, kos sara hidup yang tinggi bukan lagi faktor utama kegiatan pelacuran dalam kalangan wanita terbabit kerana sebahagian mereka mempunyai kerjaya.
Ada sesetengah terbabit dalam kegiatan tidak bermoral ini kerana terpengaruh dengan ajakan kawan yang mempunyai kenalan lelaki kaya! – Bernama