Misteri kehilangan kanak-kanak yang berumur empat tahun, William Yau diklasifikasikan sebagai kes ‘hilang’ dan bukan kes culik kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli.
Beliau berkata sedemikian kerana tiada sebarang wang tebusan diminta daripada keluarga mangsa sehingga kini.
William dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya Rabu lepas.
“Polis juga menerima banyak panggilan daripada orang awam berhubung kes ini dan tiga panggilan yang diterima menyatakan mereka ternampak kanak-kanak tersebut tetapi selepas siasatan dijalankan ia adalah tidak benar.
“Selain mengedarkan gambar mangsa, sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak dikenali sebagai talian NUR Alert sudah diaktifkan,” katanya kepada pemberita di rumah keluarga kanak-kanak itu di Seksyen 25.
Maklumat awal mendakwa kanak-kanak menyerupai William dilihat bersama seorang wanita Indonesia di Segambut Dalam pada Jumaat lepas.
Menurut Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, maklumat itu diterima daripada seorang wanita dikenali sebagai Tang. – Utusan
Bantuan, kerjasama dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia dimohon utuk bersama-sama mencari kanak-kanak yang hilang ini. Perkara sebegini mungkin boleh terjadi kepada kita sendiri.