Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan antara enam hingga tujuh tahun ditemui di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau di Pelabuhan Klang petang semalam.
Mayat lelaki itu masih belum diketahui identitinya ditemui berkemaje T kolar bulat dengan tulisan “Active Group, Best Team” berwarna jingga kekuningan dan memakai seluar pendek yang sama warna dengan bajunya dan tidak memakai kasut.
Polis sedang melakukan siasatan bagi menentukan adakah mayat itu ialah William Yau Zhen Zhong, 6, iaitu kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Putra Heights minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, pihaknya masih belum mengetahui identiti mangsa kerana keadaan mayat itu sudah pun mengalami proses pereputan dan menyukarkan pengecamannya.
“Polis percaya mangsa adalah warga tempatan dan berkulit putih. Setakat ini siasatan ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kesan jenayah dan percaya mangsa sudah beberapa hari terendam di dalam air,” katanya.
Proses DNA akan dijalankan dan keluarga William akan turut dipanggil untuk menjalani proses tersebut.
William Yau Zhen Zhong dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu selepas keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya ketika singgah di kedai alatan elektronik di Putra Heights, Subang Jaya.
Sumber : Berita Harian