Susah hati bila tengok dompet anda nipis dan kosong? Mesti susah hati fikir apa anda nak makan, bagaimana nak ke tempat kerja, bagaimana nak beli barang dapur dan sebagainya kan? Sedangkan nak pergi ke tandas awam pun akan dikenakan bayaran 20sen! Kan susah kalau kita terlalu boros? Jadi apa kata kalau anda belajar berjimat dan menabung. Tips berikut mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah anda.
Rancang perbelanjaan
Masa awal dapat gaji, apa kata anda asingkan duit untuk bayar rumah, kereta dan bil-bil terdahulu. Dan baki selebihnya barulah anda rancang untuk perbelanjaan lain, menabung atau bershopping. Jika anda ingin beli barang dapur, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ini untuk menggelakkan anda berbelanja lebih dengan barang yang tidak diperlukan.
Ukur baju di badan sendiri
Ukur baju di badan sendiri. Familiar dengan ayat ni kan? Berbelanjalah dengan bijak. Kalau anda baru mula kerja, janganlah anda berbelanja seperti orang yang sudah lama bekerja dan bergaji besar. Sendiri juga yang susah nanti. Belanja jangan terlalu ikutkan nafsu dan jangan berniat untuk menunjuk-nunjuk. Sekali sekala tak ada masalah, tapi janganlah tiap kali dapat gaji anda pun belanja sakan!
Menabung
Menabung bukan sahaja digalakkan kepada kanak-kanak tetapi kepada semua peringkat umur. Kalau anak-anak disuruh menabung tapi ibu bapa sendiri tidak menabung bukan ke seperti ketam mengajar anak berjalan lurus? Menabung tidak semestinya anda kena simpan 100% gaji anda, 10 % atau 20% daripada gaji anda pun sudah memadai. Semuanya untuk masa akan datang yang kita sendiri tidak tahu apa akan berlaku kelak. Jadi tidak ada ruginya jika anda menabung kan.
Elakkan berhutang
Elakkan berhutang tidak kiralah sama ada dengan bank ataupun dengan orang, lagi-lagi hutang dengan ALONG. Jika anda sudah mula berhutung, sukar untuk anda keluar dari keselesaan yang sementara itu. Jadi, hidup dan belanja seadanya. Jangan disebabkan keselesaan yang sementara itu anda terduduk satu hari nanti.
Kawal nafsu makan
Zaman sekarang ni rata-rata orang habis duit hanya untuk makan. Boleh dikatakan 50% daripada gaji akan digunakan untuk makan sahaja. Untuk elakkan itu daripada berlaku, apa kata anda kawal nafsu makan, bawa bekal ke tempat kerja dan kurangkan makan di luar. Apa salahnya kalau anda rasa masakan sendiri dirumah. Kan lebih jimat dan sudah pastinya dijamin halal dan bersih!
Kurangkan penggunaan kereta
Kurangkan penggunaan kereta. Ini bermakna guna kereta bila betul-betul diperlukan seperti unutk ke tempat kerja, cuaca yang tidak mengizinkan dan juga perjalanan yang jauh. Seperti yang kita semua tahu, harga minyak semakin mahal, keadaan di jalan raya juga masih sesak dan itu salah satu punca minyak cepat habis macam minum air. Jadi, untuk perjalanan yang dekat dan tidak memerlukan anda membawa kereta, tidak perlulah anda bawa. Di situ pun anda sudah jimat. Jika tiap hari anda guna kereta, minyak seminggu RM50, kalau sebulan tak ke dah habis RM200-300? Gunakan kenderaan awam atau motosikal bagi jarak perjalanan yang singkat.
Pada awalnya mungkin agak liat untuk anda mula menabung, tapi lama-kelamaan semuanya pasti berjalan lancar. Niat yang baik sentiasa ada ganjaranya. Tak kisah jika anda mula menabung setiap hari dengan hanya 50 sen atau RM1 sebagai permulaan. Bak kata pepatah, biar sedikit, lama-lama jadi bukit! Apa-apa pun bagi mereka yang dah terbuka hati nak menabung, semoga berjaya dan jangan mengalah okay! 🙂