Kerat 14 mengisahkan pembunuhan kejam seorang lelaki oleh sepasang kekasih lakonan Aaron Aziz dan Siti Saleha secara tidak sengaja sehingga menyebabkan mayat berkenaan dipotong kepada 14 bahagian.
Pengarahnya, Arjin Uppal berkata, filem ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kejadian bunuh yang pernah berlaku di Malaysia. Skrip dan penceritaan filem ini dihasilkan berdasarkan imaginasi yang diterjemahkan dalam bentuk hiburan semata-mata.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan rombakan skrip sebanyak enam kali selepas mengadakan perbincangan dengan pihak polis agar tidak melanggar sebarang etika.
Filem ini turut mendapat kerjasama pihak polis dan perlu dibuat dengan berhati-hati supaya fakta yang melibatkan agensi itu digunakan dengan tepat.
“Filem ini ada melibatkan siasatan polis, cara mereka bekerja dan sebagainya jadi kami mahu ia dilakukan dengan teliti supaya tiada sebarang kesalahan fakta terutama dari segi perundangan dan peraturan,” jelasnya.
Kerat 14 telah menelan kos sebanyak RM1.8 juta dan dibintangi oleh Zamarul Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fauziah Gous dan Arora Salwa. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 14 Februari depan.