Berbanding filem-filemnya terdahulu, Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit sentuhan sutradara terkenal, Mamat Khalid dilihat kurang istimewa atau berbeza.
Demikian pendapat penerbit filem popular, Raja Azmi Raja Sulaiman yang berkesempatan menontonnya ketika tayangan perdana minggu lalu selain berpendapat filem genre komedi suspens ini tidak menepati jangkaannya.
“Mungkin kerana saya begitu kagum dengan naskhah Mamat sebelum ini, Man Laksa yang begitu kuat mesej dan plot ceritanya serta komedi yang bersahaja, jadi saya sedikit kecewa selepas menyaksikan filem ini,” katanya kepada Projektor.
Raja Azmi yang juga penerbit filem …Dalam Botol berkata, Mamat bagai sudah kekeringan idea & gagal dalam menggarap komedi filem ini selain tidak langsung nampak akan mesej tersirat yang cuba diterjemahkan.
“Identiti Mamat sebagai pembikin filem dan pencetus idea jelas menerusi karyanya ini. Kiranya peminat masih mampu melihat karakter pengarahan dan idea Mamat dalam filem ini cuma ia sedikit longgar dan tidak meninggalkan kesan kepada saya sebagai penonton.
“Komedi yang ditampilkan adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka dan tiada kelainan yang cuba disuntik. Malah saya sendiri yang begitu gemar naskhah komedi tidak dapat merasakan apa yang cuba ingin diceritakan,” kata penerbit kontroversi ini.
“Saya hanya kecewa kerana tidak berpeluang untuk berseronok sebagaimana ketika menonton Man Laksa sebelum ini,” katanya.
Raja Azmi berpendapat apa yang cuba diceritakan Mamat dalam filemnya ini gagal menarik tumpuannya hingga membuatkan fokusnya menyimpang jauh.
“Filem ini kebetulan mungkin tidak kena dengan selera saya selaku penonton. Namun saya yakin mereka yang pernah menonton siri pertamanya, Hantu Kak Limah akan terhibur.
“Seperkara yang harus saya sentuh khususnya soal lakonan dan persembahan pelakonnya, ia agak kelam-kabut kerana Mamat terlalu banyak menghidupkan watak sampingan yang tidak punya fungsi.
“Jujurnya mengikut penilaian saya, filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit sederhana dan bukanlah karya terbaik sutradara terkenal ini. Saya berikan dua bintang untuk filem ini,” katanya