BMW ActiveHybrid 3 Series dan 5 Series menjadi kereta premium pertama menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) sekali gus menurunkan harga kereta itu, masing-masing sebanyak RM140,000 dan RM150,000 sebuah.
Harga asal kenderaan berkenaan ketika dilancarkan Oktober lalu adalah RM538,800 untuk model ActiveHybrid 3 Series dan RM648,800 untuk ActiveHybrid 5 Series.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Gerhard Pils berkata, syarikat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf teknologi BMW ActiveHybrid.
“Ini merupakan langkah penting untuk BMW terus menunjukkan komitmennya dalam memperkenalkan kereta mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BMW juga mengesahkan komitmen mereka untuk memperkenalkan kesemua varian kenderaan hibrid di pasaran Malaysia dengan dimulai dengan BMW ActiveHybrid 7 Series tahun ini.
Syarikat berkenaan sebelum ini telah mengumumkan jualannya meningkat 13 peratus pada 2012 kepada 6,988 buah berbanding 2011 dan menjadi pengeluar kereta premium utama di pasaran tempatan.