Terpancar raut kesal pada wajahnya itu mendengar tomahan yang dilemparkan namun hubungannya dengan bekas mentua, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan isteri, Raja Puan Sri Noorasyikin Raja Abdullah serta adik-beradik Jejai kekal rapat. Nora turut kesal apabila dia didakwa kurang sensitif terhadap perasaan Fasha Sandha yang kini isteri kepada bekas suaminya, Jejai, berikutan tindakannya pergi bercuti bersama keluarga Jejai ke Dubai, baru-baru ini.
“Ada orang pertikaikan saya bercuti dengan keluarga Jejai, tetapi adakah mereka tahu kami sudah seperti sebuah keluarga biarpun status saya hanya sebagai bekas menantu? Tan Sri dan Puan Sri sudah saya anggap seperti ibu bapa saya sendiri. Mereka mempelawa saya pergi bercuti dan saya mengikut kata mereka kerana hormat mereka sebagai bekas mentua. Adakah itu salah kerana hubungan kami memang rapat sampai sekarang.”
“Apa yang terputus adalah ikatan perkahwinan saya dengan bekas suami namun hubungan silaturahim antara saya dengan bekas mentua masih baik tambahan pula, Rayqal adalah cucu mereka “Andai kata satu hari nanti kalau Jejai dan Fasha pula pergi bercuti dan saya tidak lagi diundang oleh keluarga Jejai, saya tiada masalah.
Saya difahamkan Jejai dan Fasha tidak menyertai percutian ini kerana Fasha sedang mengandung.
“Saya yakin Jejai dan Fasha tidak kisah dengan perkara ini, tetapi yang peliknya orang lain pula yang terlebih bimbang,” katanya.
Sementara itu, ibu Nora, Salima Talib, berkata sebagai ibu dia berasa sedih dengan tohmahan yang dilemparkan kepada anak kesayangannya itu.
“Walaupun anak saya itu bekas menantu mereka, tetapi mereka masih sayangkan dia dan begitu juga Nora terhadap mereka.
Malah kalau Nora menyebut mereka sebagai bekas mentua dalam temu bual, Puan Sri sendiri menegur dan berkata panggil saja dia sebagai ‘mama’.
“Sebagai ibu saya memang sedih apabila Nora dituduh terhegeh-hegeh, walhal orang tidak tahu kadang-kadang Nora sendiri tidak selesa apabila diajak bercuti kerana bimbang dengan persepsi umum.
Namun seperti yang dikatakan, kerana rasa hormat dan kasih kepada bekas mentuanya, dia turutkan saja.
“Saya selalu berkata, biarlah apa orang nak kata yang penting Allah SWT lebih mengetahui,” katanya.