Kerajaan Malaysia telah melanjutkan tarikh permohonan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia sehingga 15 Mac 2013.
Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, borang yang telah lengkap diisi boleh dihantar ke semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi-agensi yang terlibat dalam menguruskan bantuan ini.
BR1M diberikan untuk membantu keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan. Setiap keluarga yang layak menerima bantuan itu akan mendapat RM500.
Borang BR1M telah mula diedarkan sejak bulan lepas dan setakat ini, seramai tujuh juta orang telah memohon bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.
Datuk Seri Ahmad Husni berkata, mereka yang layak akan diberi baucar dan hanya boleh mendapatkan wang berkenaan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional dan Maybank.