“DENGAN apa yang pemain persembahkan, saya fikir kami layak mendapat penghormatan,” kata ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal ketika mengulas kekalahan skuad kebangsaan 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam tadi.
Menurut pengendali negara itu, dengan krisis kecederaan pemain sehingga memaksanya mengetepikan tujuh tonggak utama, beliau berpuas hati biarpun tewas kepada pasukan pilihan Kumpulan D itu.
“Saya bangga dengan aksi pemain malam ini, walaupun tanpa pemain utama, mereka masih boleh memberikan tentangan kepada Qatar.
“Qatar mempunyai bahagian tengah yang bagus, kami cuba menyekat pergerakan Khalfan (Ibrahim). Kami berjaya bertahan dengan baik dan menyukarkan mereka untuk mencipta gol,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan itu.
Pada aksi di Stadium Jassim Bin Hamad itu, skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Qatar pada babak pertama yang berkesudahan 0-0. Namun skuad tuan rumah yang dikendalikan Fahad Thani memperoleh dua gol pada separuh masa kedua yang dianggap Rajagobal seperti `percuma’.
Gol pertama Qatar pada minit ke- 54 menerusi sepakan percuma Khalfan yang terkena Mohd Amri Yahyah sehingga mengelirukan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. Skuad pilihan Kumpulan D itu kemudian menambah gol kedua di penghujung permainan selepas pemain pertahanan negara K Reuben gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti dan memberi peluang kepada Yusef Ahmed mencipta nama selaku penjaring.
“Dua gol itu adalah gol mudah. Gol pertama kerana bola terbias pemain kita dan gol kedua pula kerana serangan balas pada minit akhir. Saya harus memberi pujian kepada semua pemain atas kerja keras mereka,” kata Rajagobal.
Rajagobal hampir mengekalkan barisan sama ketika tewas 0-3, di tangan Iraq pada aksi pemanas badan Jumaat lalu kecuali memasukkan Mahali Jasuli menggantikan pemain tengah Abd Shukor Jusoh bergandingan bersama Mohd Shakir Shaari.
Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan dengan menentang Yaman di Stadium Shah Alam, 22 Mac depan.
Sumber : Harian Metro
Senarai 24 pemain Harimau Malaya
Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias, Norazlan Razali.
Pertahanan: Aidil Zafuan Abd Radzak, Fadhli Shas, Amirizdwan Taj Tajudin, Faizal Muhammad, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Mahalli Jasuli, K Reuben, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim.
Tengah: Shakir Shaari, Shukur Jusoh, Helmi Remeli, Affize Faisal Mamat, Yong Kuong Yong, Azammuddin Akil, Nor Farhan Muhammad, Ashari Samsudin.
Penyerang: Khyril Muhymeen Zambri, Amri Yahyah, Abdul Hadi Yahaya, Fauzi Roslan