Dua beradik membuat laporan polis berhubung tindakan ibu yang menghalau mereka keluar dari rumah di sebuah kampung sekitar daerah ini, malam kelmarin. Kejadian itu berlaku hanya disebabkan sebentuk cincin permainan bernilai kurang RM10 yang dibeli si adik menyebabkan nenek dan ibu mereka berang.
Difahamkan dalam kejadian 7.30 malam itu, dua beradik dikenali sebagai Norhafizah, 15, dan adiknya, Norhaliza Mohd, 6, sedang makan di dapur sebelum nenek berusia lewat 70-an mengherdik mereka. Norhafizah berkata, dia terkejut dengan tindakan nenek dan ibunya yang berang kerana adiknya membeli cincin permainan yang dikatanya terpengaruh dengan budaya serta peredaran masa kini.
“Kami tersentak apabila nenek mengusir kami keluar dari rumahnya malam itu juga manakala ibu tidak mengaku kami anaknya lagi sebelum segera menyuruh kami mengemas baju dengan segera. Menurutnya, paling menyedihkan apabila ibu mendakwa adik bongsunya pembawa sial. Katanya, ibu mereka mula bersikap panas baran selepas bercerai dengan bapa mereka penghujung tahun lalu.
“Ibu dan nenek juga mencabar kami membuat laporan polis sebelum meminta adik ketiga berusia 12 tahun menghubungi bapa untuk menjemput kami tinggal bersamanya. Kami sering dipaksa melakukan kerja harian di rumah dan jika tidak mengikut arahannya, nenek akan menyumpah seranah dengan perkataan kurang enak. Malah kami juga sering dihalau keluar dari rumah,” katanya.
“Ibu mula berubah sikap dan sering menyalahkan kami kerana sering menyusahkan hidupnya. Kejadian ini sudah berlarutan sejak lima bulan lalu. Kami kesal tindakan ibu dan nenek membenci kami hingga tergamak menghalau keluar dari rumah,” katanya yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) penghujung tahun ini.
Norhafizah dan adiknya yang dijemput bapanya kira-kira 8.15 malam terus membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat, dekat sini, malam kelmarin. Selain Norhafizah, seorang abang dan adik lelakinya turut tinggal bersama nenek dan ibu mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Saharuddin mengesahkan laporan.
Beliau berkata, kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka (D11) untuk tindakan selanjutnya.