Ketidakupayaan intelektual seringkali dikaitkan dengan kekurangan dan juga ketidakbolehupayaan mereka dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Namun, tanpa kita sedari seorang kanak-kanak istimewa mampu mengubah kekurangan yang ada pada diri mereka sekiranya diberi peluang.
Bagi golongan ini, aktiviti sukan dapat memberi mereka peluang untuk membina semangat setiakawan dan merealisasikan cita-cita mereka melalui semangat kesukanan yang tinggi.
Dalam usaha mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan sukan dalam kehidupan golongan yang mengalami ketidakupayaan intelektual, Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Sukan Olimpik Istimewa Malaysia telah menganjurkan satu bengkel bertajuk “The Power of Sports” di UiTM Shah Alam baru-baru ini.




“P&G melalui program khidmat sosial (CSR) dinamakan ‘Open Minds’ telah berjaya mengubah dan meningkatkan mutu kehidupan lebih daripada 10,000 kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan intelektual di seluruh negara termasuklah autism, dysleksia, palsi serebrum dan sindrom down. Sepanjang usaha membantu kanak-kanak istimewa ini sejak bertahun-tahun yang lalu, P&G menyedari bahawa dengan melibatkan golongan ini dalam aktiviti sukan, kami memberi peluang untuk mereka buktikan kepada ibu bapa bahawa mereka juga dapat memiliki keyakinan diri dan mampu merealisasikan impian mereka. Special Olympics merupakan satu arena untuk kanak-kanak istimewa ini menemui keseronokan dan mencipta kejayaan,” Kata Zulhaimi Abdul Hamid, Ketua Komunikasi P&G.
Kanak-kanak istimewa yang melibatkan diri dengan sukan dapat meningkatkan keupayaan fizikal dan juga kemahiran motor, memupuk sifat keyakinan diri yang tinggi dan imej kendiri yang lebih positif. Mereka bukan sahaja berkembang dari segi mental, sosial dan spiritual melalui penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti tetapi golongan ini turut mempamerkan keberanian dan semangat kental dan juga semangat setiakawan yang tinggi.
Walaupun Sukan Olimpik Istimewa sering dipinggirkan, namun ia masih lagi dekat di hati kebanyakkan kanak-kanak istimewa. Ia menjadi landasan atau medan untuk kanak-kanak ini mengambil bahagian dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan.
Matlamat utama Sukan Olimpik Istimewa adalah untuk membantu golongan ini melibatkan diri dalam komuniti sebagai ahli produktif yang mampu berkembang dan menunjukkan bakat mereka melalui latihan dan pertandingan sukan.